CAMERON HIGHLANDS – Harga yang sekali ganda mahal berbanding di tempat lain membuatkan seorang tokan dadah kelabu mata untuk menjalankan aktiviti mengedar dadah di pusat peranginan tanah tinggi ini sejak empat bulan lalu.
Lelaki yang merupakan seorang penganggur berusia 36 tahun dan masih bujang itu bagaimanapun berjaya ditahan polis di rumah sewanya dalam satu operasi yang dijalankan di Ringlet di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek menjual satu tiub 0.5 gram dadah jenis methamphetamine dengan harga RM100 kepada penagih di Cameron Highlands berbanding RM40 hingga RM50 untuk berat sama di kawasan lain.
“Suspek yang berasal dari Slim River, Perak itu ditahan di rumah sewanya di Ringlet dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands hasil maklumat daripada orang awam.
“Ketika serbuan, suspek sedang sibuk membungkus dadah dan hasil pemeriksaan menemui satu plastik lut sinar mengandungi 61 peket kecil dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat 117.8 gram bernilai RM17,550,” katanya pada sidang akhbar di IPD Cameron Highlands hari ini.
Menurut Ashari, polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan mangsa untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek hanya menjual kepada pelanggan tetap melalui tempahan secara panggilan telefon atau aplikasi WhatsApp bagi mengelak kegiatan dihidu polis sebelum dia menghantarnya terus kepada pelanggan.
“Kita percaya bekalan dadah diambil dari Tapah dan Ipoh, Perak dan dipasarkan kepada penagih yang merupakan penduduk tempatan di kawasan Ringlets dan Tanah Rata,” katanya.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE














