fbpx
Wang tunai berjumlah RM453,450 termasuk beberapa barangan lain dirampas daripada sindiket yang beroperasi di rumah pasangan itu di Jenjarom di sini semalam.

Rumah teres jadi port judi dalam talian diserbu, RM453,450 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Tindakan pasangan suami isteri menjadikan rumah teres dua tingkat milik mereka di Jenjarom sebagai pusat ‘calling centre’ dan ‘customer service’ bagi aktiviti perjudian dalam talian (JOL-Topup) akhirnya terbongkar selepas diserbu polis semalam.

Menerusi operasi bermula pukul 4 petang itu, polis turut menahan pasangan suami isteri itu dan seorang pekerja wanita berumur antara 20 hingga 31 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket perjudian itu sejak dua tahun lalu.

Menerusi serbuan itu juga, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM453,450 dan dua keping cek Public Bank bernilai RM200,000 termasuk sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, serbuan melalui Op Dadu itu dibuat hasil risikan pasukannya selama dua minggu.

“Hasil siasatan mendapati aktiviti perjudian dalam talian (JOL-Topup) tersebut menyasarkan pelanggan di negara ini dan mereka perlu mendepositkan bayaran bagi mendapatkan nama pengguna serta kata laluan untuk memulakan permainan di laman sesawang.

“Selain itu, sindiket turut menawarkan kepada pelanggan aplikasi berunsur perjudian dan tambah nilai (top up) untuk tujuan sama bagi laman perjudian 918Kiss, XE88, Mega888, Joker & Lucky Palace dan lain-lain,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Jelasnya, kediaman itu juga dipercayai dijadikan pusat khidmat pelanggan dan keuntungan kegiatan haram itu dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan yang diperoleh menerusi transaksi dalam talian.

“Sindiket didapati cuba menggajikan pekerja tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan pendapatan sekitar RM2,700 hingga RM3,000 sebulan,” ujarnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a), (c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN