PETALING JAYA – Seorang ketua balai polis di Selangor berpangkat Inspektor didapati positif dadah jenis methaphethamine, kelmarin.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, dia dikesan positif melalui serbuan oleh pihak JIPS di balai tempatnya bertugas.
“Seramai tujuh lagi anggota turut disaring bagaimanapun kesemua mereka didapati negatif.
“Operasi tersebut dijalankan selepas kita menerima aduan memaklumkan ketua balai dan tujuh anggota tersebut telah menghadiri satu pesta dadah di sebuah kondominium di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum itu,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan dan Inspektor tersebut akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.-K!ONLINE