SEGAMAT – Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat mencari waris kepada Muhammad Rosli Pang @ Pang Jimmy, 65, yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat petang semalam.
Jurucakap Jabatan Forensik berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.41 semalam akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Allahyarham yang juga orang kelainan upaya (OKU) kategori fizikal masih bujang dan tinggal berseorangan.
Kisah mualaf ini pernah disiarkan Kosmo! pada 20 Ogos tahun lalu berhubung penghijrahannya yang mendapat hidayah untuk memeluk Islam ketika berkelana ke Hong Kong.
Menurut jiran, Abdul Razak Mohd. Diah, 59, selepas 20 tahun berkelana di Hong Kong, Allahyarham pulang ke tanah air pada tahun 1996 selepas ibunya, Low Choy Moi jatuh sakit sebelum ibunya meninggal dunia pada usia 85 tahun di kampung halamannya di Kota Tinggi.
“Allahyarham memeluk Islam pada tahun 2005 di Kota Tinggi ketika usianya mencecah 50 tahun dan telah berhijrah dari Kota Tinggi ke Segamat,”katanya.
Waris atau sesiapa yang mengenali penama diminta menghubungi Hospital Daerah Segamat, Johor di talian 07-9433333 bagi memudahkan urusan pengebumian.-K! ONLINE