SHAH ALAM – Polis Selangor mendedahkan menerima sebanyak 137 laporan polis palsu berhubung jenayah samun dan ragut bagi mengelakkan didenda kerana kehilangan kad pengenalan.
Pecahan jumlah itu masing-masing sebanyak 107 sepanjang tahun lalu dan 30 laporan sehingga Januari tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan laporan itu pada awalnya kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 392/ 395 Kanun Keseksaan iaitu samun atau samun berkumpulan.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tidak wujud elemen jenayah yang dilaporkan malah pengadu turut gagal memberi keterangan sahih mengenainya.
“Hasil siasatan juga menunjukkan laporan itu bertujuan bimbang tidak dapat memperbaharui Mykad atau perlu
membayar denda kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan gantian kad pengenalan yang baru,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.
Bayaran denda yang perlu dibayar bagi mendapatkan gantian kad pengenalan yang hilang adalah RM100 bagi kehilangan kali pertama manakala bagi kehilangan kedua dikehendaki membayar RM300 dan RM1,000 untuk kehilangan kali ketiga dan seterusnya.
Justeru, Fadzil menegaskan pihaknya sudah membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Ia melibatkan kesalahan memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang sehingga mendatangkan bencana kepada orang lain.
“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. -K!ONLINE