fbpx

Bursa Malaysia pasaran ekuiti terbaik di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) kini menjadi salah satu pasaran ekuiti terbaik di ASEAN meskipun negara kini berdepan dengan cabaran ekonomi dan kesihatan yang berterusan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ini menunjukkan keyakinan dan sentimen pelabur yang terus meningkat selain disokong oleh pasaran modal dengan kecairan domestik yang kukuh serta menerima manfaat daripada peningkatan kehadiran pelabur runcit dalam negeri.

“Turut disokong oleh faktor kemudahan pembrokeran secara online dan persekitaran kondusif dengan kadar faedah rendah dan nilai dagangan purata harian sekuriti meningkat lebih sekali kali ganda kepada RM4.21 bilion tahun lalu berbanding RM1.93 bilion pada tahun 2019.

“Penanda aras FBMKLCI juga telah mengakhiri pada tahun 2020 dengan kenaikan 2.4 peratus kepada 1,627.21 mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan keputusan kewangan Bursa Malaysia yang diadakan secara maya di sini semalam.

Bursa Malaysia mencatat rekod keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti berjumlah RM377.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2020.

Nilai statistik ini merupakan pertumbuhan 103.2 peratus berbanding RM185.9 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelum.

Pencapaian tersebut berpunca daripada prestasi lebih baik dalam pasaran sekuriti dan derivatif yang merekodkan pendapatan operasi 62.2 peratus lebih tinggi berbanding 2019 kepada RM778.8 juta.

Perbelanjaan operasi ke­seluruhan pula meningkat 18.5 peratus kepada RM291.8 juta. Jumlah peningkatan tersebut disebabkan oleh kos kakitangan, kos penyelenggaraan teknologi maklumat dan fi profesional.

Lembaga Pengarah mengumumkan dividen akhir sebanyak 26 sen sesaham dan dividen istimewa lapan sen sesaham.
Ini menjadikan jumlah dividen yang dibayar bagi tahun kewangan 2020 adalah berjumlah 51 sen sesaham, 145 peratus lebih tinggi berbanding 20.8 sen pada 2019.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, menuju ke hadapan, pihaknya akan memfokuskan kepada pembangunan dan pertumbuhan pasaran modal Islamik.
Jelasnya, cara pendekatannya adalah dengan mempromosikan saham patuh shariah serta memperkenalkan produk baharu se­perti wakaf dan hibah.

“Kami juga ingin menjalin perkongsian baharu untuk mengembangkan aliran pendapatan bukan tradisional bagi Bursa Malaysia.

“Antara inisiatifnya ialah dengan menjalin kolaborasi data dengan pihak lain yang membolehkan kami memperluaskan set data kami melangkaui data pasaran.

“Hal ini akan membantu membentuk Bursa Malaysia menjadi sebuah ekosistem yang mampan dan menarik serta melebihi pasaran tradisional,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI