JOHOR BAHRU – Peka dengan cabaran dihadapi guru dalam menjayakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil mengadakan program motivasi untuk menyemai pemuafakatan antara guru-guru dan ibu bapa.
Program Bicara Guru yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) itu diadakan secara maya, baru-baru ini.
Program yang pertama kali diadakan itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila ditonton sebanyak lebih 50,000 kali, dikongsi lebih 1,000 kali dan mendapat sehingga lebih 5,000 komen.
Pengarah Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) UTM, Prof. Dr. Intan Zaurah Mat Darus berkata, tujuan program itu adalah untuk menyelesaikan masalah komuniti sasaran bertepatan dengan norma baharu ekoran pandemik Covid-19.
“Program ini diharap dapat memberi peluang terutama kepada para guru dalam mendepani cabaran mendidik pada ketika ini.
“Selain itu juga, komitmen bersama dan peranan ibu bapa bagi membimbing pelajar supaya terus bersemangat meneruskan pembelajaran perlu dipupuk,” katanya dalam satu kenyataan.
Program Bicara Guru yang bersiaran secara langsung di laman Facebook rasmi JPNJ pada 16 Januari lalu itu telah dirasmikan Pengarah JPNJ, Shaharuddin Saari. -K! ONLINE














