PETALING JAYA – Pelakon Ramona Zamzam terkejut kerana dia tiba-tiba diserang gatal-gatal pada bahagian badan selain bibirnya bengkak melampau seperti disengat tebuan.
Menurut pelakon filem Jengka itu, dia menyedari terdapat kesan bintik seperti gigitan nyamuk sejak dua hari lalu, namun mengabaikannya kerana beranggapan keadaan tersebut cuma perkara biasa.
“Kesan bintik ada dua tiga biji sahaja dan tak gatal, jadi saya abaikan sahaja. Kemudian semalam keadaan jadi lebih teruk. Daripada kesan gigitan nyamuk, terus jadi macam peta dunia penuh satu badan.
“Semalaman saya sukar tidur sebab rasa gatal. Saya cuba untuk tidak garu. Hari ini saya bangun dengan keadaan mata pula senget sebelah dan bibir pun jadi bengkak melampau,” tulisnya.
Tambah pemilik nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam itu, kesan merah mula merebak sehingga membuatkan seluruh badannya terasa gatal-gatal.
“Tapi bahagian muka jadi bengkak macam dalam gambar ini, seperti kena tumbuk. Saya berasa gatal-gatal satu badan sampaikan rasa nak marah sebab tahan gatal.
“Siapa ada pengalaman seperti ini, tolong kongsikan dengan saya apa yang kalian makan? Garu tak? Kalau tak tahan, buat apa? Apa jenis makanan yang perlu dielakkan? Kalau bukan sebab makanan, sebab apa?” katanya lagi.
Dia berasa bimbang jika diserang alahan makanan kerana apa yang dialaminya sama seperti babak filem Hitch yang memaparkan aktor Will Smith mengalami bengkak muka akibat alah dengan kacang walnut.
Sedangkan selama ini, Ramona mendedahkan dia tidak pernah mengalami sebarang alahan terhadap makanan.
Bagaimanapun, pelakon berusia 31 tahun itu sudah mendapatkan rawatan doktor dan menerima suntikan.
“Saya makan apa sahaja yang saya mahu. Bolehkah kejadian ini berlaku tiba-tiba?
“Saya sudah bertemu doktor pakar kulit pagi tadi dan menerima suntikan. Doktor berikan juga ubat dan losyen sapu. Ini sesuatu yang baharu bagi saya, jadi tolong kongsi pengalaman anda dengan saya. Stresnya,” ujarnya. -K! ONLINE