APABILA disebut sahaja pekerjaan tukang kasut, mungkin ada segelintir yang membayangkan individu yang hanya duduk membuka peti peralatan membaiki kasut di kaki lima.
Kini, keberadaan mereka yang lazimnya dilihat menumpang kesibukan laluan pejalan kaki di hadapan bank-bank atau premis perniagaan lain boleh dikira dengan jari, seolah-olah pekerjaan itu hanya sudi diselami oleh orang-orang lama dan dibiarkan terkubur sendiri seiring dengan perubahan zaman.
Namun, ironinya, tukang kasut merupakan satu perkhidmatan penting yang diperlukan oleh masyarakat sama ada dalam soal berjimat, memelihara nilai sentimental mahupun bagi membolehkan produktiviti harian berjalan lancar.
Terletak di bangunan pusat beli-belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall di Bandar Hilir tertera kain rentang tertulis Kelinik Kasot yang pada andaian penulis hanyalah sebuah premis menyediakan rekaan-rekaan kasut moden untuk penjagaan kesihatan kaki seperti yang sering dilihat di bandar.
Apabila dilewati, istimewanya premis itu sebenarnya merupakan kedai ‘merawat’ kasut yang diusahakan oleh seorang tukang kasut muda, Abdul Ghafur Hanafiah, 26, dalam suasana lebih kondusif.

Menurutnya, kedai itu dibuka pada September 2019, selepas yakin dengan kemahiran membaiki kasut yang diterokainya sendiri menerusi internet.
Bagaimanapun, jelasnya, kemahiran asas gam dan menjahit kasut telah dipelajari daripada bapanya sejak berusia 18 tahun. Bapanya, Abdul Ghafur Bahtiar, 60, juga merupakan seorang tukang kasut sejak di usia mudanya dan mengusahakannya di sebuah kedai lain di Melaka.
Bertanya mengenai pemilihan kerjaya yang kurang mendapat tempat di hati kebanyakan anak muda, dia memberitahu, pada awalnya dia turut menyimpan hasrat meneruskan pengajian dalam bidang psikologi, namun akhirnya nekad membantu bapa meneruskan perkhidmatan sebagai tukang kasut.
“Semuanya bermula dengan niat ingin membantu ayah, namun semakin hari, saya semakin meminati bidang ini seterusnya cuba meningkatkan kemahiran diri dengan mempelajari teknik terbaik memperbaiki kasut termasuk cara jahitan, penggunaan material kulit, tapak dan cara membersihkan kotoran degil.
“Mencabarnya, kemahiran ini tidak dapat dipelajari di mana-mana universiti dan memerlukan usaha serta inisiatif sendiri untuk menggarap ilmu daripada mereka yang telah mahir atau senior dalam pembaikan kasut.
“Setiap kali saya nampak tukang kasut yang lain, saya akan berhenti dan belajar daripada mereka, termasuk ketika saya melancong ke Singapura dahulu. Senario menjadi tukang kasut di negara ini amat berbeza jika ingin dibandingkan di Itali,” katanya.

Akuinya, pada hari ini memang sukar untuk mencari kelompok tukang kasut muda sepertinya kerana sedar rata-rata ibu bapa hari ini lebih menekankan aspek pendidikan berbanding kemahiran.
“Ada juga yang datang berjumpa saya dan ayah kerana ingin belajar, namun proses pembelajaran itu hanya sekerat jalan kerana minat mereka tidak cukup dalam.
“Sebenarnya, karier sebagai tukang kasut ini bukanlah terlalu kecil skopnya, perspektif ini perlu diperbetulkan kerana daripada kemahiran ini, mereka juga boleh meningkatkan tahap kerjaya seperti menjadi pereka kasut.
“Saya juga mempunyai visi untuk menjadi seorang pereka kasut suatu hari nanti selepas mempelajari ilmu asas berkaitan kasut,” katanya.
Kata anak kelahiran Perlis itu, kemahiran memulihara kasut bergantung kepada teknik seseorang dan tahap ketelitian.
Kongsinya, terdapat juga situasi di mana pelanggan menghantar kasut yang baru dibaiki oleh tukang jahit lain ekoran jahitan yang dilakukan kurang kemas.
“Biasanya, tukang kasut golongan senior tidak membuat alur dan hanya melakukan jahitan di bahagian luar termasuk tapak. Dalam kes ini, benang itu lama-kelamaan akan terputus kerana bergeser di permukaan jalan.

“Saya lebih suka membuat alur menggunakan pisau kecil supaya benang akan tersimpan di bahagian dalam tepi kasut, sekali gus jahitan akan nampak lebih kemas serta tahan lama,” katanya.
Melihat berpuluh pasang kasut di dalam kedainya itu, anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, selain masalah biasa iaitu gam di bahagian hadapan kasut terbuka, terdapat banyak permintaan untuk menukar lapik bahagian dalam serta mencantikkan semula kasut lusuh.
“Beza kasut berjenama atau mahal dengan jenis biasa adalah pada material dan rekaannya, namun kasut-kasut ini tetap mempunyai masalah sama iaitu gam pada kasut tidak kuat.
“Jadi, kebanyakan pelanggan akan menghantar kasut mereka untuk digam dan dijahit. Bagi pembaikan bahagian dalam, saya menggunakan jenis material kulit berkualiti,” katanya.
Ceritanya, kerja-kerja tersebut memakan masa kerana ketelitian yang dituntut dalam memastikan kasut itu bukan sahaja selesa dipakai tetapi menjadi kepuasan kepada dirinya apabila hasil tangannya itu terjamin kualitinya.
Jelasnya, dalam sehari dia akan cuba menyiapkan antara empat hingga lima pasang kasut, namun tempoh itu bergantung kepada jenis kerosakan tersebut.
Sambil menunjukkan bagaimana cara membuat alur jahitan, dia sempat meluahkan tentang penilaian yang diberikan pelanggan terhadap hasil pembaikannya.
Kongsinya, menerusi akaun laman sosial Twitternya @laa1a, hantaran gambar-gambar yang memaparkan hasil tangannya sebelum dan selepas pembaikan kasut menerima sambutan luar biasa dengan lebih 24,000 diulang ciap oleh pengguna Twitter.
“Kebanyakan mereka mengagumi hasil tangan saya yang kemas dan transformasi seakan kasut baharu.
“Ada juga pelanggan yang ingin menghantar beberapa kasut lama mendakwa ia memiliki nilai sentimental kepada mereka semata-mata. Namun, saya jarang mengambilnya kerana tujuannya adalah untuk disimpan dan bukannya dipakai.

“Bagi saya, adalah lebih baik masa yang ada digunakan buat membaiki kasut-kasut lain yang memang sangat diperlukan si pemakai.
“Walaupun kerjaya tukang kasut ini tidak begitu popular atau dipandang rendah, namun hakikatnya perkhidmatan ini diperlukan masyarakat, malah permintaan juga tidak pernah berkurang,” katanya menambah dia mengambil upah serendah dari RM10 sehingga RM90.
Sementara itu, bagi seorang pelanggan, Abdul Rahman Kamisan, 73, dia sanggup memandu sejauh kira-kira 100 kilometer dari Sungai Terap, Johor semata-mata ingin menghantar sandal kesayangan untuk dibaiki di Kelinik Kasot.
Kata warga emas itu, dia mendapat tahu mengenai kedai tersebut menerusi anaknya yang melihat gambar-gambar tular kasut dibaiki Abdul Ghafur dan tertarik mendapatkan perkhidmatan anak muda itu.
“Ini adalah sandal kesayangan saya, malah saya telah memakainya ketika melakukan umrah beberapa kali. Tapaknya kini sudah haus menyebabkannya menjadi licin sehingga saya pernah tergelincir apabila melalui lantai basah.
“Bahagian atasnya pula sudah berlapuk, manakala bahagian lapik dalam juga koyak. Jadi, daripada terus membuangnya, saya cuba menghantarnya ke Kelinik Kasot dan hasilnya amat mengejutkan. Kasut saya jadi cantik dan selesa dipakai kembali,” kata pesara guru itu.














