fbpx

TM sedia Wi-Fi percuma di masjid, bantu proses PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEREMBAN- Masjid Kariah Paroi Jaya dekat sini dijadikan projek perintis di negeri ini oleh pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam penyediaan kemudahan internet jaringan tanpa wayar (Wi-Fi) bagi membantu pelajar dalam kategori 40 peratus terendah (B40) mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Besar TM Negeri Sembilan, Azhar Mustapha, projek Wi-Fi di masjid itu diharap dapat membantu penduduk setempat yang mengalami masalah dalam mendapatkan kemudahan internet terutama kepada pelajar yang mengikuti PdPR.

“Ini merupakan projek perintis bersama pihak Masjid Kariah Paroi Jaya. Ini sebagahagian tanggungjawab sosial korporat kami, selepas mendapat pulangan dan memberi semula kepada masyarakat, ia merupakan kejayaan bagi TM.

“Kami ada menerima permohonan di beberapa lokasi lain dan kami akan mempertimbangkan dalam usaha membantu anak-anak kategori B40 ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran WiFi Percuma di Masjid Kariah Paroi Jaya hari ini.

Menerusi kemudahan berkenaan, TM menyediakan liputan Wi-Fi dengan kelajuan 800 Mbps dan lima lokasi akses internet yang membolehkan kira-kira 100 hingga 200 orang menggunakan Wi-Fi pada satu-satu masa di masjid berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kariah Paroi Jaya, Mohamad Fadzilah Zulkafly berkata, pihaknya telah mengadakan ruang khas bagi membolehkan pelajar mengikuti PdPR di masjid berkenaan.

“Pihak masjid menyediakan kemudahan pembelajaran ini sejak awal Januari lalu bagi membantu pelajar yang mengikut PdPR dan mengalami masalah internet di rumah. Ada kalanya mereka mengalami gangguan internet di rumah masing-masing kerana mempunyai kapasiti anak-anak yang bersekolah yang agak ramai.

“Kami menghadkan kira-kira 30 orang pelajar pada satu-satu masa jadi lokasi ini lebih sesuai untuk mereka mengikuti PdPR dengan kelajuan internet yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, masjid dibuka pada setiap hari dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) untuk kegunaan murid mengikuti waktu pembelajaran mereka iaitu bermula pukul 7.30 pagi hingga 2 petang manakala bermula pukul 2 petang hingga malam dikhususkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI