fbpx

Jumlah kes tinggi berpunca lewat lapor CPRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan, kes harian melebihi 5,000 sehari bagi tiga hari berturut-turut disebabkan oleh pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelaporan lewat tersebut termasuk kes-kes yang dikesan positif pada tahun lepas.

“Peningkatan kes yang mendadak ini disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri.

“Namun, kes-kes lewat dilaporkan ini telah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga kelewatan pelaporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) oleh fasiliti swasta berdaftar misalnya, klinik dan hospital swasta.

“Terima kasih kepada fasiliti swasta yang telah melaporkan kes segera menggunakan SIMKA dan juga pengguna MySejahtera yang membuat laporan kendiri bagi memaklumkan status keputusan ujian Covid-19 mereka.

“KKM akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan agar isu kelewatan pelaporan kes-kes positif ini dapat ditangani dengan segera bagi membendung penularan Covid-19 di Malaysia,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI