fbpx

15,000 tersekat lagi ke Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibadah haji akan diteruskan bagi tahun ini dengan syarat khas yang bakal diumumkan kelak. - AFP

PETALING JAYA – Langkah Arab Saudi melanjutkan tempoh sekatan penerbangan dan menunda tarikh pembukaan sempadan dari Mac kepada 17 Mei depan merencatkan perancangan operasi pengusaha umrah dan haji di negara ini.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel Sdn Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah bagaimanapun berkata, perkara itu sememangnya sudah dijangka memandangkan kes Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia.

“Kita memang menjangkakan perkara ini, namun bagi pihak Andalusia, kita sudah merancang antaranya menawarkan umrah atau haji tanpa deposit atau yuran pendaftaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan kelak.

“Ada juga jemaah yang sepatutnya pergi Tanah Suci pada tahun lalu, namun mereka tidak meminta semula wang deposit kerana mereka berharap dapat melaksanakan ibadah itu tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Menurut Md. Daud, menerusi perbincangan bersama kerajaan pada hujung tahun lalu, pihaknya bercadang menghantar seramai 14,000 jemaah umrah dan 1,000 jemaah haji bermula Februari hingga Ramadan ini sekiranya kes jangkitan Covid-19 reda.

“Kita mempunyai banyak perancangan lain, namun penularan Covid-19 di luar jangkaan, apa yang boleh dilakukan adalah berharap agar ia segera berakhir,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, lanjutan tempoh sekatan penerbangan dan menunda tarikh pembukaan sempadan memberi impak besar kepada pemain industri itu di seluruh negara.

“Ia ibarat satu tamparan hebat buat kami. Walau bagaimanapun pelbagai langkah proaktif diambil untuk meneruskan kelangsungan operasi.

“Ada dalam kalangan ahli kami yang menjual kurma, air malah membuat pakej pelancongan domestik berbentuk Islamik,” katanya.

Beliau turut berharap agar pandemik ini segera berakhir dan keadaan pulih seperti sedia kala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI