fbpx

Ditahan, kompaun ingkar PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA pelanggan yang dikompaun ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di sini semalam.

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis ditahan polis selepas gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras dan menggaji pekerja tanpa permit yang sah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan pada pukul 7.50 petang di sini semalam.

“Susulan daripada itu, pihak polis turut menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 36 tahun kerana bekerja tanpa permit yang sah serta tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan turut mendapati seramai 10 orang pelanggan yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan berada di dalam premis tersebut dan sedang minum serta makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, kesemua mereka telah dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

“Susulan daripada itu polis telah merampas tujuh botol minuman keras pelbagai jenama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam turut telah menahan seramai enam orang lelaki warga asing selepas didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila bermain bola sepak di taman permainan awam di sini.

“Selain itu, polis turut merampas sebiji bola berwarna hijau dan kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Justeru, pihak PDRM memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi pelaksanaan PKP 2.0 dan kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan orang ramai dikompaun RM1,000 atau ditangkap dan didakwa di mahkamah,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI