fbpx

TH dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan deposit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

UALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada dalam kedudukan yang baik untuk terus mengekalkan momentum pertumbuhan deposit tahun ini berdasarkan sentimen umat Islam yang semakin yakin de­ngan kemampuan dan tadbir urus ins­titusi tabungan, pelaburan serta pengurusan haji itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, keadaan itu dapat dilihat secara jelas berdasarkan pertumbuhan jumlah deposit keseluruhan TH sebanyak RM7 bilion kepada RM76 bilion tahun lalu.

Lebih membanggakan, rekod pertumbuhan deposit tahunan bagi TH itu dicapai dalam suasana ekonomi yang mencabar dan tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19.

“Saya lihat terdapat dua faktor yang menyokong kepada pertumbuhan ini iaitu pertama disebabkan keyakinan dan kepercayaan pendeposit kepada TH sudah kembali kepada tahap sebelum ini.

“Sebab kedua ialah kemampuan TH untuk terus melayan serta berurusan dengan pendeposit menerusi kaedah-kaedah baharu, terutamanya secara online tanpa memerlukan mereka hadir ke cawangan ketika kawalan pergerakan dihadkan dise­babkan pandemik.

“Sekarang adalah zaman ke­yakinan bagi TH. Kami akan terus meyakinkan orang ramai dan fokus kepada pengukuhan institusi ini yang dimiliki ramai orang, iaitu lebih kurang sembilan juta umat Islam,” katanya kepada Kos­mo! di ibu pejabat TH, Jalan Tun Razak di sini baru-baru ini.

Selain pertumbuhan jumlah deposit, TH turut merekodkan pertambahan hampir 250,000 akaun baharu sepanjang tahun 2020.

Menurut Nik Mohd. Hasyudeen, trend pertumbuhan depo­sit TH dilihat berterusan pada minggu-minggu awal tahun 2021.
Jelasnya, ia antara lain turut disumbangkan oleh beberapa pendekatan baharu yang diambil tahun lalu bagi menggalakkan umat Islam terus menyimpan dalam TH termasuk kemudahan potongan gaji selain pelancaran platform perkhidmatan digital, THiJARI.

“Kami memfokuskan kepada dua kategori pendeposit, perta­ma ialah ibu bapa yang menyimpan untuk anak-anak dan yang kedua ialah golongan baharu mula bekerja.

“TH turut melaksanakan pelbagai program seperti kempen Simpan, Daftar Dan Menang yang memberi peluang kepada pendeposit menerima cabutan bertuah, kami cuba menambah jumlah pendeposit kecil-kecilan ini kerana mereka mampu memberi kestabilan kepada TH pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI