PUTRAJAYA – Orang awam yang mempunyai saman kesalahan trafik yang didaftarkan Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor boleh membuat pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarak jauh mulai 2 Februari ini.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Istana Kehakiman dalam kenyataan berkata, ia berikutan pelancaran projek rintis Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (sistem e-PG) di mahkamah berkenaan.
“Secara rintis, Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor akan mengaplikasi sistem e-PG bagi semua kes trafik yang didaftarkan di Mahkamah Majistret 3 Shah Alam bermula 2 hingga 5 Februari ini.
“Jika Orang Kena Saman (OKS) memilih untuk membuat pengakuan salah melalui sistem e-PG ini, kehadiran OKS ke mahkamah adalah dikecualikan melainkan jika diarahkan oleh mahkamah sebaliknya,” kata kenyataan itu.
PKPMP turut menyenaraikan 43 kesalahan yang membenarkan OKS menggunakan aplikasi sistem e-PG termasuk kesalahan mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, pendaftaran kenderaan dan pemunya, lesen kenderaan motor, tiada lesen memandu dan memperagakan nombor pendaftaran.
Bagaimanapun, individu yang menghadapi kesalahan memandu kenderaan melebihi had kelajuan tidak boleh menggunakan aplikasi sistem e-PG dan perlu hadir secara fizikal ke mahkamah.
Menurut PKPMP, statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan bahawa lebih daripada sejuta kes saman trafik yang didaftarkan adalah terdiri daripada kes trafik yang kebanyakannya berakhir dengan pengakuan bersalah dan hukuman denda.
Katanya, Badan Kehakiman berharap dapat melancarkan sepenuhnya sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung Malaysia bermula 1 April manakala bagi Mahkamah Majistret Sabah dan Sarawak bermula Jun depan.
“Apabila sistem e-PG ini dilancarkan sepenuhnya, OKS di seluruh negara boleh membuat pengakuan salah bagi kesalahan-kesalahan yang tersenarai dari mana-mana tempat menggunakan peranti mudah alih mereka sendiri,” katanya.
Badan Kehakiman juga berharap inisiatif pendigitalan teknologi seperti sistem e-PG ini akan lebih memperkasakan pentadbiran keadilan dan memperluaskan akses kepada keadilan untuk semua pihak.
“Sistem e-PG ini bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan trafik sekali gus mempercepatkan proses pelupuasan kes tersebut,” katanya.
Orang awam yang mempunyai kes yang didaftarkan di Mahkamah Majistret berkenaan boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my. – K! ONLINE.