fbpx

15 tahun derita bau busuk sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SOPI menunjukkan longgokan sampah haram yang dibuang di tepi jalan berdekatan rumahnya di Kampung Kura, Mukim Jeneri, Sik semalam.

SIK – Sebuah keluarga terpaksa hidup dalam persekitaran berbau busuk ekoran tindakan segelintir penduduk membuang sampah berhampiran rumah mereka di Kampung Kura dalam Mukim Jeneri dekat sini sejak 15 tahun lalu.

Tapak pembuangan haram di kawasan rizab jalan dengan rumah Muhammad Sopi Kamis, 59, hanya terletak kira-kira 50 meter.

Menurut Muhammad Sopi, pelbagai cara telah dilakukan termasuk membuat teguran secara baik, namun segelintir penduduk di situ tidak mengendahkannya.

“Kawasan ini jadi tapak pembuangan sampah haram oleh penduduk dan peniaga sekitar Kampung Kura Siam, Kampung Kura Melayu, Kampung Padang Chicar dan penempatan Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Padang Cina.

“Lebih memburukkan kea­daan apabila sisa buangan itu berselerak apabila diselongkar anjing liar dan monyet liar,” ­katanya yang juga pesara kerajaan ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, sampah seperti sisa makanan dan lampin pakai buang yang dicampakkan di situ mengeluarkan bau meloyakan terutama ketika dibiarkan dalam tempoh lama atau terkena air hujan.

“Sampah sarap ini juga mencacatkan pemandangan di kawasan ini,” ujarnya.

Katanya, dia terpaksa mengeluarkan belanja sendiri dengan membakar sisa bahan buangan itu untuk mengurangkan bau ­busuk.

“Saya juga pernah beberapa kali mengupah jentera pengorek untuk menimbuskan sampah sarap itu bagi mengelak dihurungi lalat.

“Sampai bila saya perlu berbuat demikian, sudahlah terpaksa menghidu bau busuk, perlu keluarkan belanja sendiri pula tetapi masalah tidak selesai,” dakwanya.

Tambahnya, aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa melalui pemimpin tempatan tetapi jawapan yang diterima amat mendukacitakan iaitu kawasan tersebut bukan di bawah seliaan Majlis Daerah Sik (MDS).

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu termasuk menyediakan tempat khas untuk membuang sampah bagi ­mengawal kebersihan kawasan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI