KOTA KINABALU – Dengan kadar RM1, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Taman Putera Jaya, Telipok dekat sini menawarkan perkhidmatan membuang sampah dari rumah ke rumah.
Penduduk taman perumahan berkenaan yang memerlukan perkhidmatan Gideon J Joeplik, 35, hanya perlu menghubungi abang iparnya sebelum lelaki OKU terbabit datang mengutip sampah dan membuang di tempat pembuangan sampah berhampiran.
Gideon ketika ditemui di kediamannya berkata, dia memulakan perkhidmatan itu selepas dicadangkan suami kepada kakaknya kira-kira dua minggu lalu.
“Suami kakak yang mencadangkan saya buat perkhidmatan membuang sampah dengan kadar RM1 untuk setiap satu bakul sampah kerana saya tiada pekerjaan tetap sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu.
“Apabila keluarga bersetuju, abang ipar terus membuat hebahan di laman sosial Facebook beliau.
“Sejak itu penduduk mula memanggil saya untuk dapatkan perkhidmatan membuang sampah.
“Saya tidak menyangka usaha ini mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya yang disahkan lemah pembelajaran sejak lahir.
Abang ipar Gideon, Terrance T Suilih, 40, berkata idea membantu Gideon itu selepas melihat adik isterinya berkenaan sering membantu membuang sampah di rumah mereka.
“Saya tanya Gideon samaada dia setuju sekiranya ada jiran lain yang mahu meminta pertolongan membuang sampah dengan bayaran upah dan dia bersetuju.
“Awal hanya hebahkan di laman sosial peribadi saya namun apabila semakin tersebar, ada penduduk memasukkan nombor telefon saya di kumpulan WhatsApp taman perumahan ini agar lebih mudah berinteraksi,” katanya.
Menurut Terrance, walaupun perkhidmatan itu bukan setiap hari diminta oleh penduduk tetapi permintaan sentiasa ada khususnya pada waktu hujung minggu.
“Melihat sambutan positif penduduk ke atas inisiatif diberikan Gideon, saya bercadang untuk dia melakukan perkhidmatan ini menggunakan basikal selain mempunyai baju khas melambangkan usaha dilaksanakannya selain mahu lebih menekankan penggunaan peralatan kebersihan termasuklah sarung tangan,” katanya. – K! ONLINE