fbpx

TH janji agihan keuntungan stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) berhasrat untuk memberikan kadar agihan keuntungan yang stabil kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2020 meskipun dalam suasana ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, terdapat banyak faktor perlu dipertimbangkan dalam soal agihan keuntungan, bukan sekadar mengambil kira prestasi kewangan pada tahun sebelumnya.

Jelas beliau, antara faktor yang turut diambil kira terma­suklah jangkaan prestasi tahun ini, dengan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras rendah iaitu 1.75 peratus, serta unjuran kenaikan kos haji yang perlu ditanggung disebabkan pematuhan prosedur kawalan pandemik Covid-19.

“Untuk pelaksanaan umrah sekarang, bilik hotel yang besar pun hanya dibenarkan dua orang sebilik, jadi pasti ada implikasi daripada segi kos.

“Selain itu, kadar OPR turut dikurangkan daripada tiga peratus pada 2019 kepada 1.75 sekarang, ini satu lagi perkara yang perlu kita tangani.

“Realitinya dari segi pasaran memang ada tekanan, namun kami memiliki pelbagai jenis aset dan akan cuba memberikan pulangan lebih stabil dalam jangka panjang,” katanya kepada Kosmo! pada sesi temubual di ibu pejabatnya di Jalan Tun Razak di sini semalam.

Kadar agihan keuntungan TH untuk tahun 2020 dijangka diumumkan pada penghujung bulan Februari atau awal Mac ini.
Pada 2019, agihan keuntungan yang diberikan adalah 3.05 peratus.

Menurut Nik Mohd. Hasyudeen, kadar agihan keuntungan yang diumumkan TH adalah selepas ditolak zakat dan pendekatan itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada institusi berkenaan dalam menarik umat Islam untuk menyimpan.

“Memang pada asasnya orang meletakkan duit di TH adalah untuk menunaikan haji, namun ada juga yang berhasrat mendapat pulangan daripada wang mereka.

“Mereka sedar selain mendapat keuntungan, sebahagian da­ripadanya turut disalurkan untuk membantu jemaah menunaikan haji, sekali gus membuatkan pulangan yang diterima lebih ‘membahagiakan’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI