fbpx

Sweet Qismina persoalkan syarat pengambilan, pemulangan buku teks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWEET QISMINA

PETALING JAYA- Pelakon Sweet Qismina tidak puas hati dengan sistem pengambilan dan pemulangan buku teks oleh pihak sekolah.

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Suspandi berkata, dia berasa tidak adil dengan sistem yang diguna pakai kerana hanya membenarkan ibu bapa dan penjaga sahaja yang boleh mengambil dan memulangkan buku teks di sekolah, khususnya di sekolah menengah.

Dia terpanggil bersuara tentang hal tersebut semasa mengambil buku teks sekolah adiknya.

Kata Sweet, adiknya merupakan pelajar sekolah yang sudah berusia 17 tahun dan mampu melakukan perkara tersebut secara sendiri.

Malah katanya, tidak semua ibu bapa atau penjaga sihat tubuh badan dan mampu bergerak ke sana sini di bawah cuaca terik.

“Tidak semuanya muda dan larat nak bergerak di bawah panas terik 11 pagi sampai 1 tengah hari untuk ambil dan pulangkan buku teks.

“Saya yang baru 24 tahun pun tak larat dan tahan dengan cuaca panas melampau. Jadi rasanya orang-orang tua boleh hadap perkara ini? Kasihan mereka,” tulisnya dalam bebenang ciapan Twitter sebentar tadi.

TANGKAP layar ciapan Twitter Sweet Qismina yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kaedah pemulangan dan pengambilan buku teks sekolah adiknya.

Tambah pelakon drama Bidadari Salju itu, dia simpati dengan nasib ibu bapa yang ditimpa sakit akibat mengangkat buku teks yang berat.

“Kawan adik saya beritahu emak dia sakit pinggang tetapi terpaksa gigihkan juga sebab hanya mereka yang boleh masuk ke sekolah.

“Sekurang-kurangnya biarkan anak-anak bawa ibu bapa mereka masuk atau upah orang untuk tolong angkat.

“Lagi satu, boleh tak tolong bantu ibu bapa arah mana yang perlu mereka pergi? Saya dahlah tak tahu kelas adik di mana, sekolah besar dan jenuh tawaf satu sekolah tahu tak. Saya sampai tak ada nafas dengan pakai topeng pelitup muka lagi. Jadi bayangkanlah orang yang berumur macam mana?” soalnya serius.

Enggan perkara tersebut menyusahkan golongan ibu bapa terutama mereka yang sudah berusia, Sweet mencadangkan agar pihak sekolah membenarkan pelajar mengambil sendiri buku teks di sekolah.

“Tetapi biar ibu bapa yang tandatangan masa nak masuk sekolah. Kalau tak percaya, minta sajalah kad pengenalan. Benda senang kenapa nak sulitkan?” katanya lagi sambil memetik akaun Twitter Kementerian Pelajaran.

Terdahulu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan kaedah pemulangan dan agihan buku teks kepada pelajar menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

Garis panduan berkenaan menetapkan syarat hanya ibu bapa atau penjaga yang dibenarkan datang ke sekolah untuk memulangkan dan mengambil buku teks anak-anak mereka berdasarkan jadual yang ditetapkan pihak sekolah. – K!ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI