fbpx

Keluarga Jepun bela buaya dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MURABAYASHI turut menggosok gigi haiwan itu.

SEBILANGAN besar orang tidak akan sesekali mendekati buaya apatah lagi menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

Namun, berbeza dengan sebuah keluarga di bandar Kure City, Hiroshima, Jepun yang mana mereka telah hidup bersama seekor buaya hampir empat dekad.

Nobumitsu Murabayashi, 69, telah membeli buaya tersebut dari sebuah festival haiwan eksotik setelah diminta oleh anak lelaki bongsunya.

Dia tidak menyangka, haiwan yang dikategorikan sebagai ganas dan berbahaya itu telah menjadi sebahagian daripada anggota keluarga mereka.

Buaya jantan yang diberi nama Caiman-san itu kini berukuran 213 sentimeter panjang dan berat 45 kilogram.

Menurut Murabayashi, Caiman-san seekor buaya yang sangat lembut dan tidak pernah menyakiti sesiapa.

Haiwan itu tinggal di dalam rumah bersama keluarga tersebut dan dibawa berjalan-jalan manakala kanak-kanak dibenarkan menyentuh bahkan menunggangnya.

“Saya tidak menyangka dia akan membesar seperti ini dan sudah 34 tahun membelanya.

“Saya berkomunikasi dengannya menerusi perbuatan seperti menggosok gigi,” ceritanya.

 

 

BUAYA tersebut dibeli Murabayashi (gambar kiri) untuk anaknya sejak 34 tahun lalu semasa haiwan reptilia itu masih bayi (gambar kanan).

Buaya tersebut menghabiskan sebahagian besar waktunya berkeliaran bebas di dalam rumah dan bersantai di dalam tab mandinya sendiri.

Haiwan reptilia itu suka berjalan-jalan dengan pemiliknya terutama berenang di dalam kawasan air pancuran awam di sekitar tempat tersebut.

Nobumitsu mendapat keizinan daripada pihak berkuasa untuk membawa Caiman-san keluar di kawasan umum dan telah menandatangani dokumen yang membuatnya bertanggungjawab jika berlaku sesuatu berlaku.

Buaya itu pernah sekali menggigit anak Nobumitsu ketika ia masih kecil dan tidak lagi melakukan perkara tersebut sehingga kini.

Sebilangan besar orang mungkin akan berhenti memelihara haiwan peliharaan jika pernah mencederakan anak mereka.

Sebaliknya, Murabayashi tidak membuat keputusan sedemikian kerana Caiman-san hanyalah ‘anak kecil’ pada ketika itu lantas membuatnya memberi peluang kedua.

Kini, buaya tersebut yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang mempunyai personaliti yang sangat lembut.

Sehubungan itu, pemiliknya memberi kepercayaan penuh kepada buaya tersebut sehingga membiarkan ia dikelilingi kanak-kanak di kawasan awam.

Murabayashi yang bekerja sebagai ejen hartanah telah menjadi popular ekoran tindakan memelihara haiwan tersebut dan memberinya kelebihan dalam kerjaya itu.

Caiman-san telah membawa tuah kepada Murabayashi sekeluarga dan mereka menjadi selebriti tempatan di Kure City serta sering tampil di saluran televisyen tempatan manakala turut tertulis ‘pemilik buaya’ pada kad perniagaannya.

 

BUAYA jantan yang dinamakan Caiman-san kini berukuran 213 sentimeter panjang bebas berkeliaran di dalam rumah Murabayashi.

 

Sementara itu, wartawan Indianapolis, Amerika Syarikat (AS), Scott Swan yang pernah melawat Murabayashi sekeluarga turut terkejut apabila melihat betapa jinaknya buaya tersebut mendekati dirinya dan kru-kru lain.

“Dalam lawatan kami, buaya itu sangat tenang sewaktu wawancara dijalankan dan gambarnya dirakam dari pelbagai sudut.

“Ia tidak sesekali bergerak atau cuba menyerang saya walaupun berada berhampiran dengannya,” tulis Swan di dalam akaun Facebook miliknya.

Mempunyai buaya sebagai haiwan peliharaan adalah sangat pelik dan di luar kebiasaan.

Murabayashi bagaimanapun tidak keseorangan apabila perkara sama turut dilakukan oleh Kanathip Nathi di Thailand yang tinggal bersama buaya sejak 20 tahun lalu, selain sebuah keluarga di Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI