GEORGE TOWN – Ada dalam kalangan suri rumah yang diberhentikan kerja atau memilih pemberhentian secara sukarela (VSS) terutama pekerja industri di negeri ini menggunakan manfaat daripada pengeluaran i-Sinar dengan membeli barangan kemas sebagai pelaburan masa depan keluarga.
Mereka juga bersedia menjual kembali emas tersebut sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kematian ahli keluarga.
Harga emas ketika ini adalah RM250 satu gram dan dijangka meningkat sehingga RM300 pada penghujung tahun.
Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Rina Ali, 45, berkata, dia membeli sebentuk cincin emas seberat 7.83 gram dengan nilai RM2,100 sebelum dua hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini.
Menurutnya, barangan kemas tersebut akan dijadikan sebagai perlindungan selamat sekiranya berdepan dengan kecemasan kelak.
“Saya jadikan sebentuk cincin ini sebagai pelaburan emas sekiranya berdepan masalah kewangan di kemudian hari termasuk digunakan untuk kos pembelajaran anak-anak ke menara gading nanti.
“Selebihnya saya mengagihkan semua baki wang tersebut ke dalam akaun tiga anak kecil saya untuk keperluan mereka di kemudian hari, sekiranya saya tidak sempat merasai amaun penuh pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 55 tahun,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Seorang lagi pekerja kilang, Rohana Abd. Samad, 46, memberitahu, dia juga memanfaatkan wang i-Sinar dengan pembelian seutas rantai tangan emas seberat 12.77 gram berharga RM3,610.
“Saya melakukan sedemikian berikutan harga emas ketika ini naik RM250 satu gram dan dijangkakan akan melonjak sehingga RM300 pada hujung tahun ini.
“Lebih baik beli barang kemas dan buat pelaburan emas daripada habiskan duit beli telefon pintar atau baju berjenama untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Tambahnya, baki wang tersebut digunakan untuk persiapan persekolahan lima anaknya termasuk membayar hutang bank yang tertunggak.














