fbpx

Masjid lama tanpa paku kekal utuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah masjid lama yang dibina pada tahun 1800 kekal utuh walaupun beberapa kali dilanda banjir besar di Kampung Pagar Lama, Lipis.

LIPIS – Walau sebesar mana banjir yang berlaku di daerah ini sehingga ‘menimbulkan’ bangkai kapal berusia kira-kira 200 tahun yang tertanam di dasar sungai, namun sebuah masjid lama yang telah ditinggalkan tetap teguh.

Masjid Kampung Pagar Lama yang dikatakan berusia 200 tahun dan menjadi pusat dakwah Islam di negeri ini masih kukuh walaupun berkali-kali ditenggelami banjir setiap tahun.

Penghulu Kampung Penjom, Azhar Ismail berkata, masjid yang dipercayai dibina sekitar tahun 1800 itu masih kukuh dan diperbuat daripada kayu jenis merbau.

“Berdasarkan cerita, sebanyak empat batang pokok merbau digunakan bagi membina masjid itu menggunakan kaedah pasak tanpa paku.

“Masjid ini yang ditinggalkan pada 1971 selepas banjir besar yang menyebabkan penduduk berpindah ke kampung baharu masih lagi kukuh pada struktur tiang dan mempunyai lantai serta bumbung, cuma ada bahagian dinding sahaja yang telah dipaku tercabut,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini penduduk di sekitar daerah ini digemparkan dengan penemuan bangkai kapal British abad ke-19 yang terdampar di tepi Sungai Lipis berhampiran Kampung Pagar selepas banjir surut.

Susulan itu pihak Jabatan Warisan Negara telah mengambil bangkai kapal berkenaan untuk melakukan penelitian dan kajian mengenai sejarah kapal yang tertulis British Vivian & Sons ­Shea­ting itu.

Menurut Azhar, masjid berkenaan yang menyerupai reka bentuk masjid di sebuah kampung di Pekan merupakan tempat dakwah dan syiar Islam oleh Kadi Besar Pahang kedua, Ibrahim Hurairah yang meninggal dunia pada 1918.

Katanya, kubur kadi berkenaan terdapat di sebelah masjid berkenaan bersama banyak lagi kubur termasuk kubur-kubur pahlawan seperti Pahlawan 7 Lapis yang kesemuanya ditandakan dengan ‘batu hidup’.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan berbincang de­ngan pihak berkaitan untuk membaik pulih masjid yang menjadi syiar Islam tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI