fbpx

Hon bukan alat lepas geram pemandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Ada sejenis alat yang membantu menyelamatkan nyawa orang lain dan pada masa sama, mencetuskan kemarahan. Alat itu dinamakan hon.

Hon ialah antara komponen paling awal dipasang pada kenderaan sejak kelahiran industri automotif pada abad ke-20 atau zaman selepas kereta kuda.

Ini adalah satu instrumen penting dalam proses komunikasi antara kenderaan dan pejalan kaki. Cuma, hon jarang digunakan oleh pemandu masa kini kerana ada persepsi buruk terhadapnya.

Percaya atau tidak, perbuatan menekan hon sebagai mengi­ngatkan atau memberi amaran kepada pejalan kaki dianggap sebagai tingkah laku sopan dalam pemanduan? Itu cerita awal 1900-an.

Kurator pengangkutan di Muzium Henry Ford, Matt Anderson pernah menyatakan:

“Kamu diharapkan menekan hon kereta jika kamu semakin mendekati pejalan kaki untuk memaklumkan mereka bahawa (kamu) melalui jalan tersebut.

“Kamu akan dianggap sebagai biadap sekiranya tidak menggunakan hon.”

Apa yang dinyatakan beliau ada asasnya tetapi berbeza mengikut keadaan di sesebuah negara termasuk Malaysia.

Sebagai contoh di India, pemandu di bandar Kolkata anggap hon sebagai satu keperluan wajib.

Portal berita Times of India dalam satu laporan melabel golongan pemandu di Kolkata gemar menekan hon tanpa sebarang sebab.

Laman berita Inkstone pula mendedahkan pihak berkuasa di China memasang unit kamera akustik di sekitar 40 bandar untuk mengesan mana-mana pemandu yang sengaja menekan hon secara berpanjangan.

Kamera canggih itu akan me­rakam foto dan video durasi dua saat sebagai bukti untuk diteliti sama ada pemandu itu melakukannya secara sengaja atau tidak. Jika bersalah, mereka akan didenda AS$16 (RM65).

Satu kajian oleh Kanetix.ca di Australia mendapati, 48 peratus pengguna jalan raya dan pejalan kaki mengakui pernah terkejut dengan bunyi hon.

Menariknya, kajian yang membabitkan 1,179 responden berumur 18 hingga 72 tahun mendapati golongan muda lebih kerap menekan hon. Sebahagian besar responden menekan hon kerana berasa marah dengan sikap pemandu lain.

Penganalisis permotoran, Erywan Norshal menyatakan kelompok pemandu kereta perlu didikan sebenar menggunakan hon.

“Setiap kereta daripada va­rian paling asas dan murah hingga kenderaan termahal dunia se­perti Bugatti didatangkan dengan hon. Memang ada sebab munasabah hon dipasang pada semua kereta dan motosikal.

“Pemandu perlu menekan hon untuk sebagai amaran atau memaklumkan kepada pengguna lain keberadaan mereka di situ, lebih-lebih lagi pada kawasan titik buta.

“Menekan hon perlu dijadikan satu budaya komunikasi sihat dan tidak sepatutnya di­salah guna hingga membawa kepada pergaduhan,” katanya.

Beliau menegaskan, menekan hon ada perlu mengikut cara sewajarnya untuk menyedarkan pemandu lain bahawa cara pemanduan mereka mengundang bahaya seperti memotong dan masuk semula ke lorong atau ketika ada pemandu mengantuk.

“Pemandu kena berani tekan hon untuk mengingatkan pemandu lain jika mereka memandu secara berbahaya. Jika ditekan hon, tidak perlu membalas dengan menunjuk isyarat lucah tetapi angkat tangan sebagai tanda damai,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI