fbpx

Lelaki parah ditetak angkara cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GOMBAK – Akibat menjalinkan hubungan dengan seorang wanita, lelaki berusia 54 tahun parah ditetak sekumpulan penjenayah di sebuah stesen minyak di Taman Greenwood, Sabtu lalu.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul 2 pagi sebelum orang awam melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, berdasarkan laporan mangsa, pada hari kejadian, dia menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang ingin berjumpa di kawasan berhampiran stesen minyak berkenaan.

Jelas beliau, semasa mangsa menghampiri kenalannya di kawasan tersebut, tiba-tiba lima lelaki datang meluru ke arahnya dan terus memukul mangsa.

“Salah seorang suspek yang bersenjatakan parang telah melibas mangsa mengakibatkan kecederaan di bahagian lutut kiri dan jari tangan.

“Motosikal mangsa jenis Yamaha 135 LC, sebuah telefon bimbit dan beg dompet turut dilarikan suspek,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan laporan itu, Arifai berkata, anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Taman Batu Greenwood, Batu Caves disini kira-kira pukul 12.20 pagi, Isnin lalu.

Katanya, hasil soal-siasat, anggota kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah Jalan Sungai Pusu Batu 8 dan telah menahan dua lelaki dan seorang wanita kira-kira pukul 3.30 pagi.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas dua buah motosikal iaitu jenis Modenas GT 128 dan Yamaha 135 LC serta sebuah telefon bimbit.

“Polis kemudiannya telah pergi ke sebuah rumah di Taman Batu Greenwood, Batu Caves kira-kira pukul 5 pagi dan telah merampas sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam kejadian tempoh hari” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, kesemua tujuh suspek warga tempatan yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 24 hingga 43 tahun kini direman selama lima hari sehingga esok.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah, manakala tiga daripadanya merupakan individu dikehendaki bersabit kes dadah di Selayang dan Jinjang.

“Ujian saringan air kencing dapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI