fbpx
Nik Ezanee menyampaikan sumbangan kepada seorang wanita yang ditangkap kerana mencuri disebuah pasar raya semalam.

KPD Petaling Jaya tampil bantu wanita ‘mencuri’ di pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh seorang wanita sehingga sanggup mencuri disebuah pasar raya semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal hari ini tampil membantu wanita tersebut.

Meskipun wanita itu telah ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam kerana telah mencuri beberapa barangan dan makanan di sebuah pasar raya, Nik Ezanee berkata, pihaknya telah terpanggil untuk membantu wanita tersebut sebaik menerima laporan daripada pihak berkuasa.

“Semalam saya terima laporan mengatakan ada seorang wanita ditahan kerana dikatakan mencuri kek, ‘cool fever’ atau ‘plaster’ untuk anaknya yang sakit (demam).

“Jadi saya pun berasa terpanggil untuk berjumpa dengan wanita ini. Saya percaya dia ada masalah kalau tidak dia tidak akan buat perkara ini.

“Orang kalau lapar boleh tahan lagi, kalau anak-anak lapar itu perkara lain,” katanya menerusi satu video disiarkan di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semasa mengadakan lawatan dan menyerahkan sumbangan di rumah wanita itu hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Nik Ezanee memberitahu, pihaknya telah menyampaikan beberapa sumbangan antaranya beras, telur dan kit makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambah beliau, pihaknya juga tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukan wanita berusia 30an itu.

Pada masa sama, Nik Ezanee berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu cabaran kepada semua pihak terutama golongan susah.

“PKP ini banyak mencabar kita, ramai antara kita selalu buat aduan konon tidak boleh ‘brain’ (faham) kenapa polis buat roadblock (sekatan jalan raya), kenapa polis tutup jalan dan kenapa jalan ‘jem’ (sesak).

“Sebenarnya, bukan tuan puan saja susah tetapi ada lagi yang lebih susah. Dalam PKP ini kita nak lawan virus Covid-19, ramai yang terkesan orang awam, ‘frontliners’ dari semua peringkat.

“Kita kena korbankan sedikit kesusahan dan kesukaran untuk masa depan. Kita sama-sama bantu yang mana susah,” katanya.-K! ONLINE