KUALA LANGAT – Polis tidak menolak kemungkinan tindakan seorang lelaki meragut guru wanita sebuah taska di Eco Sunctuary Telok Panglima Garang, semalam disebabkan bagi membeli dadah.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, ini berikutan ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 26 tahun didapati positif dadah jenis syabu.
“Kita telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek itu.
“Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan dalam mendapatkan barangan hasil ragut berhubung kes tular tersebut selepas hanya beberapa barangan sahaja ditemukan daripada suspek.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki berjaya diberkas di sekitar daerah ini dalam tempoh lapan jam selepas meragut seorang guru sebuah taska.
Suspek berusia 26 tahun itu ditangkap pukul 4 petang selepas melakukan jenayahnya di Eco Sunctuary Telok Panglima Garang, kira-kira pukul 8.20 pagi. – K! ONLINE














