fbpx

Sindiket dadah tumpas, dadah lebih RM11j dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapsyen gambar : Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis ibu heroin yang berjaya dirampas menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang 15 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Tindakan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit lumpuh selepas diserbu polis yang membawa kepada penemuan dadah bernilai lebih RM11 juta pada 15 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, serbuan dilakukan di enam lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang serta di utara dan selatan Semenanjung diantara pukul 3.10 hingga 3.57 petang.

“Seramai enam lelaki tempatan berusia 29 hingga 58 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut sejak Oktober tahun lalu telah berjaya ditahan menerusi serbuan yang dilakukan itu.

“Pihak polis turut merampas sebanyak 100.92 kilogram ketamin dan 59.995 kilogram ibu heroin bernilai kira-kira RM11 juta yang boleh dibekalkan kepada 636,375 penagih di dalam kenderaan di kawasan parkir kereta di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Menurut Lei Choo, turut dirampas menerusi serbuan berkenaan adalah sebanyak enam buah kenderaan pelbagai jenis, 21 barang kemas, dua utas jam tangan berjenama Rolex dan wang tunai berjumlah RM423,829.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai negara transit dan pergerakan pengedaran dadah yang dirancang mereka bermula dari Selatan menuju ke Utara Semenanjung sebelum dihantar ke luar negara menerusi jalan laut.

“Semakan mendapati empat daripada enam suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkait jenayah dan dadah dan dua daripada mereka juga positif dadah jenis methamphetamine dan ganja,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Lei Choo berkata, kesemua suspek ditahan kini direman tujuh hari sehingga 22 Januari dan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 termasuk dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesan saki baki sindiket ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di talian 012-2087222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujar beliau.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI