fbpx

Tumbuk bonet kereta jiran, baling pasu jurujual didenda RM2,600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Padah menumbuk bonet kereta Meecedez Benz jirannya sehingga kemek dan membaling pasu bunga, seorang jurujual didenda RM2,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Boon Leong, 35, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala denda RM100 atau sehari penjara bagi pertuduhan kedua. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan menumbuk sehingga kemek bonet sebuah kereta jenis Mercedes Benz milik S. Selvakumar, 50,.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah berkelakuan kurang sopan dengan membaling pasu bunga ke arah mangsa sama mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di kawasan kejiranan di Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, di sini, pukul 11.30 malam pada 23 November 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya ‘Atifah Hazimah Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

Bagaimanapun, Boon Leong yang diwakili peguam Chuan Shyue Chien merayu dikenakan denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

“Tertuduh juga telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI