MELAKA – Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 15.87 kilogram bernilai RM2.4 juta yang dipercayai merupakan bekalan bagi 50,000 penagih dadah tempatan di negeri ini, pada minggu lalu.
Turut ditahan adalah seorang suspek lelaki dan sepupunya, masing-masing berusia 39 tahun dari Selangor yang menjadi orang tengah (transporter) bagi bekalan dadah tersebut.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dadah tersebut dirampas sepasukan peronda dalam tangkapan suspek pertama di Jalan Lereh, Tanjung Kling pada pukul 7.05, Khamis lalu.
Menurutnya, ketika kejadian pasukan itu sedang membuat rondaan cegah jenayah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebelum terserempak dengan suspek yang berjalan kaki dengan membawa sebuah beg pakaian berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran polis, lelaki tersebut cuba melarikan diri dan mencampakkan beg yang dibawa, namun berjaya diberkas.
“Pemeriksaan lanjut beg berkenaan bagaimanapun telah menemukan 15 bungkusan jenama minuman teh Qing Shan yang mengandungi peket lutsinar bertulis 688 berisi mampatan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 15.87 kilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Tambahnya, pada tangkapan tersebut pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM3,400 yang dipercayai hasil penjualan dadah.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, susulan tangkapan tersebut pihaknya menahan supupu suspek yang dipercayai turut terlibat dalam pengedaran tersebut kira-kira pukul 4 pagi di Bukit Puchong, Selangor, semalam.
“Pada tangkapan tersebut kita telah merampas wang tunai sebanyak RM21,800 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM70,00 yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.
“Kita percaya kedua-dua suspek merupakan transporter bagi sindiket bekalan dadah yang dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan-jalan tikus pada tempoh PKP 2.0 ini,” katanya.
Jelasnya, kesemua dadah dirampas dipercayai bagi pasaran meliputi permintaan 30,000 hingga 50,000 penagih dadah di negeri ini.
“Siasatan lanjut sedang dibuat, namun modus operandi kes yang menggunakan bungkusan teh ini hampir sama dengan rampasan dadah di negeri lain termasuk di Johor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya. -K! ONLINE














