fbpx
FATIN AFEEFA

Pintu hati tertutup untuk bersuami – Fatin Afeefa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa menafikan nikmat bahagia kehidupan berumah tangga. Menjadi lumrah setiap pasangan yang berkahwin, tentunya mereka inginkan keindahan mahligai mereka berkekalan hingga ke akhir hayat. Acapkali juga kita mendengar jodoh itu rahsia Tuhan. Siapa pula kita untuk menolak takdir?

Begitulah, pengalaman yang pernah dilalui oleh pelakon yang juga penyanyi, Fatin Afeefa. Perceraian bersama pelakon, Adam Shahz pada Mei 2017 lalu memberi tamparan hebat dalam kamus hidupnya.

Ibarat luka yang meninggalkan parut kekal, Fatin mengakui perkahwinannya tidaklah sebahagia sebagaimana yang diharapkan.

Bercerai pada usia muda membuatkan aktres berusia 26 tahun itu trauma untuk berkahwin lagi.

SELEPAS melalui fasa perceraian pada usia muda, Fatin mengaku dirinya trauma untuk kembali berkahwin.

“Saya tak nak lagi mendirikan rumah tangga. Mungkin buat selama-lamanya. Saya nak berkahwin dengan diri saya sendiri sahaja,” kata Fatin.

Pantas sahaja ayat tersebut meniti di bibir pelakon filem Tentang Bulan itu saat diajak berkongsi tentang pilihan dan perancangan masa depan.

‘Tutup kilang’

Kedengaran mungkin agak lantang. Namun Fatin memberitahu bahawa dia benar-benar tidak mahu berkahwin lagi walaupun usianya masih muda. Dia juga sudah ‘tutup kilang’, enggan beranak mahupun berkahwin lagi.

“Orang yang berkahwin ada yang sebab mereka mahukan anak. Saya sudah pun mempunyai dua orang cahaya mata. Saya dah ‘tutup kilang’ tidak mahu lagi berumah tangga.

“Saya tidak merajuk. Cuma bagi saya, perkahwinan semacam membuang masa sahaja. Nak jaga hati lelaki lagi,” jelasnya.

Had

Bagaimanapun, Fatin tidak menolak andai suatu hari nanti pintu hatinya terbuka untuk berkahwin. Namun ada syarat-syaratnya.

Menurut pelakon yang memulakan kerjaya seawal usia lapan tahun itu, dia akan mempertimbangkan semula keinginannya untuk berkahwin jika bertemu lelaki yang menyokong kerjayanya sebagai pelakon.

Dakwa pemilik nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin itu lagi, selepas berkahwin dia tidak mahu diletakkan sebarang had terhadap perkara yang disukai, termasuklah berlakon.

SETAKAT ini, Fatin Afeefa hilang perasaan untuk kembali bergelar isteri kepada mana-mana lelaki kerana lebih selesa dengan status ibu tunggal dan hidup bersama dua orang anaknya.

“Kalau nak buat sesuatu selepas berkahwin nanti, saya kena jaga hati dan perasaan suami serta keluarganya. Sedangkan saya bukan sebegitu.

“Keluarga saya sekarang pun bergantung kepada saya. Maknanya kalau saya berkahwin nanti saya kena tinggalkan keluarga saya dan memberi fokus pada suami.

“Saya tak rasa ini (berkahwin) adalah idea yang bagus dan telah memaklumkan pada keluarga untuk memberi laluan kepada adik-beradik lain untuk berumah tangga,” katanya.

Atas alasan tersebut, lelaki yang mahu menikahinya kelak, haruslah sanggup menanggung ibu bapa dan anak-anaknya.

Fatin tidak mahu apabila sudah berkahwin nanti, dia tidak dapat membantu keluarganya daripada segi kewangan. Katanya lagi, dia takut untuk meminta wang daripada suami, bimbang akan dipersoalkan.

Tak pening kepala

“Sudahlah masa itu syurga saya di bawah telapak kaki suami. Kalau suami cakap tidak boleh beri duit pada keluarga, kasihanlah.

“Sebab itu buat masa sekarang saya tidak fikir lagi untuk bersuami. Lagi pun karier saya sedang stabil dan semakin baik sekarang. Semuanya sebab tanpa kehadiran ‘lelaki’ yang memeningkan kepala,” jelasnya.

LAKONAN merupakan perkara yang sangat diminati oleh Fatin dan tidak akan sesekali meninggalkan dunia hiburan waima sudah berumah tangga.

Selepas hampir empat tahun melayari kehidupan sebagai ibu tunggal, Fatin mengakui kehidupannya sangat gembira dan selesa menjalani kehidupan kini.

Jauh sekali meletakkan sesal terhadap perkahwinannya dahulu, Fatin berkata jika perasaan tersebut wujud dalam dirinya, itu bermakna dia turut menyesal memiliki cahaya mata pada hari ini.

Hidup susah

Kata Fatin, kegagalan dalam perkahwinan mengajarnya untuk bersedia dan tahu baik buruk jika ditakdirkan berkahwin lagi.

“Semasa berkahwin dahulu, saya pernah hidup susah. Sebelum ini dah biasa pegang duit tetapi tiba-tiba lepas berkahwin, saya langsung tak ada duit poket.

“Sepanjang hidup dengan keluarga, saya tak pernah hidup susah. Tetapi semasa berkahwin saya makan nasi dengan kicap sahaja. Saya dah tak nak hidup susah lagi selepas ini.

“Sebab itu sekarang saya kerja ‘gila-gila’ sampai tidak tidur sebab nak cari duit,” ujar Fatin yang segera menjauh jika ada mana-mana lelaki cuba memikat hatinya.

PELAKON berusia 26 tahun ini terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk membesarkan dua orang anak dan menampung kehidupan ibu bapanya.

Berbicara tentang karier, selain berlakon, Fatin juga mempunyai bakat dalam nyanyian. Bahkan, Fatin pernah mengeluarkan sebuah single berjudul Satu Jam Saja pada tahun lalu selepas dilamar syarikat rakaman XENO Music milik penyanyi dan juga pelakon, Ayda Jebat.

Fatin sebenarnya agak terkilan apabila terpaksa menarik diri daripada pertandingan Vokal Mania baru-baru ini ekoran masalah jangkitan pada matanya.

“Tidak ada rezeki. Kalau saya teruskan juga barangkali saya akan memalukan diri sendiri di atas pentas. Sebab mata saya ketika itu memang tidak boleh terkena lampu spotlight,” katanya yang sedang merancang untuk mengeluarkan sebuah single duet tidak lama lagi.

Melangkah ke tahun 2021, Fatin tidak meminta banyak. Dia cuma berharap kariernya semakin terang dan dapat meneruskan kerjaya seninya demi kelangsungan hidup keluarga serta dua orang anaknya.

POPULAR