fbpx
Maimon menunjukkan Proton Wira Aeroback yang terbalik selepas merempuh tiang dan anjung rumahnya di Rembau semalam.

‘Ini kejadian kereta terbang ke-4’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Tiga sekeluarga yang sedang menyediakan sarapan dikejutkan dengan bunyi dentuman sebuah kereta yang terbabas dan merempuh pagar sebuah rumah di Kampung Nerasau di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, Proton Wira Aeroback yang dipandu seorang wanita hilang kawalan semasa melalui selekoh di kampung berkenaan sebelum ‘terbang’ menyebabkan tiang dan anjung rumah penduduk runtuh.

Penduduk, Maimon Jagal, 66, berkata, semasa kejadian, dia yang mahu menggoreng keledek segera membuka pintu bagi melihat kejadian yang berlaku selepas terdengar bunyi kuat.

“Sebaik pintu dibuka, saya nampak sebuah kereta terbalik dan enjinnya mula berasap. Saya kemudiannya memanggil suami, Baharuddin Ariffin, 67, untuk melihat kejadian itu.

“Mujur ada orang datang memecahkan cermin kereta tersebut bagi mengeluarkan peman­dunya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Maimon memberitahu, kejadian kereta terbabas dan ‘terbang’ semalam itu adalah yang keempat berlaku sejak rumah mertua­nya dibina di kawasan tersebut lebih 40 tahun lalu.

Jelas wanita itu, dia baru setahun menetap di rumah itu bagi menjaga ibu mertua yang uzur.

Kali terakhir kejadian kereta ‘terbang’ dilaporkan berlaku di kawasan itu 15 tahun lalu.

“Sudah dua kali atap rumah runtuh akibat dirempuh kereta. Namun yang penting keluarga mertua saya selamat,” katanya,

Difahamkan, pemandu kereta yang dalam perjalanan dari Pe­das ke Semerbok di sini telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Penduduk kampung itu turut merayu pihak bertanggungjawab supaya membina bonggol di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang.-K! ONLINE