fbpx

23 mati selepas terima suntikan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARGA emas 67 tahun, Svein Andersen menjadi individu pertama di Norway menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Oslo pada 27 Disember 2020. – AFP

OSLO, NORWAY – Seramai 23 warga emas dilaporkan meninggal dunia selepas beberapa hari disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Norway baru-baru ini, lapor akhbar Daily Star.

Jumlah itu termasuk 13 kematian yang dilaporkan berkait ­‘kesan sampingan’ selepas mene­rima suntikan vaksin.

Ketua Doktor Agensi Perubatan Norway, Sigurd Hortemo berkata, tindak balas biasa termasuk rasa mual dan demam itu ‘mungkin menyumbang kepada punca kematian membabitkan beberapa individu dalam golongan itu’.

Semua 13 pesakit yang mengalami kesan sampingan itu adalah pesakit di rumah-­rumah penjagaan dan berumur sekurang-kurangnya 80 tahun.

Pegawai-pegawai perubatan tidak menunjukkan kebimbangan tetapi sedang menyelaras garis panduan berkait siapa ­seharusnya menerima vaksin itu.

Pengarah perubatan agensi itu, Steinar Madsen menyatakan: “Ia jelas menunjukkan vaksin ini ada risiko amat rendah ke­cuali kepada pesakit yang berada dalam keadaan sangat lemah.

“Doktor dinasihati agar membuat pertimbangan teliti siapa yang harus diberi vaksin. Individu yang berada dalam ke­adaan lemah boleh diberi vaksin selepas menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Jurucakap firma farmaseutikal Pfizer berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang be­kerjasama dengan Agensi Perubatan Norway untuk mengumpulkan maklumat.

“Pihak berkuasa Norway mengutamakan pemberian vaksin kepada penghuni rumah perlin­dungan orang tua dengan kebanyakan mereka sudah tua dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.

“Agensi Perubatan Norway ­sudah mengesahkan angka kematian itu bukannya begitu membimbangkan dan sesuatu yang dijangka,” katanya.

Agensi Perubatan Norway melaporkan 29 penerima vaksin mengalami kesan sampingan, termasuk 13 yang meninggal dunia.

Selain mereka yang meninggal dunia, sembilan pesakit mengalami kesan sampingan serius seperti alergi, ketidakselesaan dan demam kuat. Seramai tujuh lagi mengalami kesan sederhana seperti sakit di tempat disuntik.

Lebih 30,000 rakyat Norway telah menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech sejak sejak bulan lalu, menurut data rasmi kerajaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI