fbpx

GLA SUV kelapan Mercedes-Benz di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GLA ini boleh didapati dalam dua varian enjin dengan salah satunya GLA 250 AMG Line.

SEBUT sahaja Mercedes-Benz, perkataan mewah pasti akan terlintas di fikiran seseorang.

Jenama tersebut yang sinonim dengan jentera yang melambangkan status seseorang itu bagaimanapun terus kukuh di pasaran tempatan walau berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Buktinya, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan jentera baharu bagi pasaran Malaysia iaitu GLA, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

GLA sekali gus menjadi model kelapan daripada barisan SUV premium jenama berkenaan.

Selain GLA, tujuh lagi model SUV lain yang dijual di negara ini termasuklah G-Class, GLB, GLC, GLE, GLS, GLC Coupe dan GLE Coupe.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Claus Weidner berkata, GLA direka bagi membolehkannya dipandu tidak kira sama ada di kawasan luar bandar atau bandar.

“GLA menampilkan ciri-ciri sporty dan rekaan progresif yang membuatkannya menonjol daripada SUV yang lain.

“Dengan penambahan jentera itu ke dalam portfolio SUV mewah kami, para pelanggan kini mempunyai lebih banyak pilihan,” katanya.

Satu daripada ciri unik GLA ialah walaupun bergelar SUV, ia merupakan yang terpendek daripada semua jentera ditawarkan Mercedes-Benz di negara ini.

Dengan kepanjangan 4.41 meter, ia kelihatan direka bagi penggunaan di ibu kota. Biarpun begitu, bahagian dalam GLA cukup luas terutamanya bagi ruang kaki penumpang dan tempat penyimpanan barangan.

JENTERA SUV ini direka dengan rekaan badan yang terpendek iaitu 4.41 meter berbanding SUV premium lain jenama Jerman itu.

Bagi memastikan ciri SUV benar-benar dirasakan oleh pemandu dan penumpang GLA, Mercedes-Benz memastikan tempat duduknya dipasang pada kedudukan lebih tinggi.

Tambahan pula, tempat duduk belakangnya boleh dilipat secara individu dengan nisbah 40:20:40.

Dalam pada itu, Mercedes-Benz GLA didatangkan dengan enjin empat silinder yang dimodenkan untuk edisi terbaharu siri SUV kompak berkenaan.

Enjin itu mempunyai perbezaan dari segi spesifikasi, bergantung kepada varian GLA yang dipadankan dengannya iaitu antara GLA 200 Progessive Line dan GLA 250 AMG Line.

Bagi GLA 200 Progressive Line, ia dikuasakan oleh enjin 1.3 liter turbocharged empat silinder digabungkan dengan transmisi automatik 7G-DCT.

Ia berupaya menghamburkan kuasa sehingga 163hp dan mencapai tork maksimum 250Nm lantas membolehkannya mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dari titik pegun dalam tempoh 8.7 saat.

Varian GLA 250 AMG Line pula didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbocharged empat silinder dengan transmisi automatik 8G-DCT.

Dengan enjin tersebut, ia menghasilkan kuasa sehingga 224hp dan tork maksimum 350Nm, sekali gus berkeupayaan mencapai kelajuan 100km/j dari titik pegun dalam 6.9 saat.

Sudah tentu, dengan adanya dua varian berbeza, harganya juga tidak sama.

DI bahagian papan pemukanya terdapat paparan bersaiz 10.25 inci.

Bagi GLA 200 Progressive Line, ia dijual pada harga RM252,888 tanpa insurans, manakala GLA 250 AMG Line pula bernilai RM295,888 (tanpa insurans).

Di bahagian dalamnya pula, dua paparan bersaiz 10.25 inci melengkapi bahagian papan pemuka jentera itu yang digabungkan dengan teknologi ketersambungan (connectivity) generasi terkini Mercedes-Benz.

Ia juga dilengkapi dengan sistem infotainment MBUX (Mercedes-Benz User Experience) yang boleh ditetapkan mengikut kehendak pengguna jentera itu.

Sejajar dengan perkembangan semasa, GLA turut dilengkapi dengan teknologi bantuan pemanduan terkini bagi memastikan penggunanya berada dalam keadaan selamat.

Satu daripada teknologi tersebut adalah Bantuan Brek Aktif. Bantuan Titik Buta pula didatangkan pada varian GLA 250 yang mana ia berupaya memberikan amaran dalam bentuk visual dan boleh dilihat menerusi cermin sisi ketika GLA dalam keadaan pegun.

RUANG dalaman kenderaan ini agak luas.

Jurutera GLA juga memastikan ia direka bagi menepati ciri sebuah jentera sporty. Salah satu aspek yang menjadikannya menarik untuk dilihat adalah rekaan di bahagian A-pillar.

Bukan itu sahaja, garisan pada badan GLA yang dikurangkan turut mendatangkan ciri sporty dan moden. Garisan pada bahagian cermin sisi jentera itu pula membuatkannya memiliki rupa ala coupe.

GLA juga didatangkan dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) High Performance. Mercedes-Benz GLA 200 didatangkan dengan rim aloi 18 inci dengan lima jejari, manakala GLA 250 rim aloinya bersaiz 19 inci.

Bagi AMG Line, ia memiliki spesifikasi berbeza terutamanya dari segi rupa bentuk dan suspensi daripada Progressive Line bagi memastikan ia benar-benar sporty.

Mercedes-Benz GLA didatangkan dengan Pelan Kewangan EaseProtect. Ia memastikan pembelinya menikmati pelan bayaran kenderaan, perlindungan dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI