SHAH ALAM – Sebanyak 6,136 kilang terutama dalam sektor pembuatan getah dan kimia, pengilangan logam serta berasaskan makanan dan minuman berpotensi melakukan pencemaran air di negeri Selangor.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika mendedahkan perkara itu berkata, jumlah itu merupakan separuh daripada keseluruhan 12,764 kilang berdaftar yang menghasilkan sisa air
buangan atau efluen perindustrian serta sisa berjadual.
Menurut Nor Aziah, pihaknya melakukan pemeriksaan secara bersasar berdasarkan kriteria-kriteria keutamaan seperti lokasi kilang dalam lembangan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih.
Selain itu, katanya, statistik juga merangkumi kilang-kilang yang pernah menerima aduan dan menghasilkan sisa berjadual yang banyak serta pernah diambil tindakan penguatkuasaan seperti pendakwaan di mahkamah dan
dikenakan kompaun.
“Secara spesifiknya, sebanyak 1,044 kilang menghasilkan efluen dan 5,092 pula melibatkan sisa pepejal industri atau sisa berjadual.
“Kita sememangnya memberi perhatian supaya mereka (kilang) patuh terhadap piawai yang telah ditetapkan JAS agar tidak melakukan kesalahan berulang.
“Perkara ini pernah berlaku ke atas sebuah kilang berasaskan kimia yang dikesan melakukan pembuangan efluen tanpa terawat pada 9 Januari lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Beliau turut mendedahkan, modus operandi yang dilakukan oleh kilang-kilang terbabit adalah menjalankan aktiviti pembuangan sisa tercemar terus ke longkang awam yang boleh menyebabkan bahan itu mengalir ke
sungai berdekatan.
Katanya, semua kegiatan itu dilakukan pada waktu malam dan hujung minggu dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ujarnya, trend pencemaran juga dilakukan menerusi lurang kumbahan yang akhirnya memasuki Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang dioperasikan oleh syarikat Indah Water Konsortium (IWK) seperti yang berlaku di
Taman Velox, Rawang, Hulu Selangor pada November lalu.
“Kes Jalan Velox merupakan jenayah terancang kerana pihak terbabit mengetahui bahan buangan itu akan disalurkan sehingga LRK seterusnya memberikan persepsi buruk kepada IWK.
“Bagaimanapun, kes tersebut dilakukan oleh premis yang beroperasi secara haram yang menjadi pusat pelupusan sisa industri,” katanya.
Nor Aziah menjelaskan, tiga buah daerah iaitu Hulu Selangor, Klang dan Shah Alam menjadi lokasi panas untuk berlakunya pencemaran air berdasarkan status kilang di kawasan berkenaan yang menghasilkan efluen
industri.
“Di Hulu Selangor contohnya, kawasan industri Rawang adalah antara lokasi panas kerana mempunyai premis jentera berat, pembuatan minyak sawit dan kimia seperti kosmetik dan sabun selain guna tanah untuk
sektor pertanian.
“Tambahan pula, lokasi Loji Rawatan Air (LRA) seperti Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang juga terletak dalam Lembangan Sungai Selangor berdekatan Hulu Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan sebanyak 61 pertuduhan bersabit pencemaran air daripada 302 keseluruhannya telah dilakukan di mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
“Secara keseluruhannya, jumlah denda dikenakan kepada pesalah alam sekitar bagi semua pencemaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah berjumlah RM4.3juta bagi tahun lalu (2020) berbanding RM4juta
pada tahun 2019 yang melibatkan 193 kes,” katanya.-K! ONLINE














