fbpx

Restoran ala kopitiam guna PATI diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pekerja warga asing yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah kedai makan di Petaling Jaya, 12 Januari lalu.

PUTRAJAYA – Sebuah kedai makan ala kopitiam di Petaling Jaya, Selangor diserbu Jabatan Imigresen (JIM) pada 12 Januari lalu kerana dipercayai menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang, sembilan warga asing terdiri daripada enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, seorang wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 27 hingga 38 tahun ditahan.

Turut dikenakan notis hadir memberi keterangan ialah seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia premis terbabit.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ketika pemeriksaan, terdapat insiden provokasi apabila terdapat pekerja yang cuba merakam gambar dan video serta menganggu tugas pegawai imigresen.

“Namun, situasi ini berjaya dikawal dengan diplomasi tanpa sebarang insiden kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah melanggar syarat pas.

Beliau berkata, kesemua tahanan itu ditempatkan di lokap JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut selepas keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif Covid-19.

“Operasi ini dijalankan berdasarkan daripada maklumat aduan awam dan hasil risikan jabatan.

“Seramai 16 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Putrajaya terbabit dalam serbuan ke atas premis tersebut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI