fbpx

Semua kekal bertenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Proklamasi Darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan membendung pandemik Co­vid-19 dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang tempoh darurat itu, perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan dan kerajaan akan berfungsi seperti biasa.

Justeru kata beliau, seluruh rakyat perlu kekal bertenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan dalam usaha memben­dung penularan Covid-19.

“Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini,” katanya dalam perutusan khas Perisytiharan Proklamasi Darurat di sini semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat usaha kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19.

“Saya memberi amaran keras, sesiapa yang cuba mengganggu-gugat usaha kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dan ekonomi negara akan diambil tindakan tegas demi ke­sejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

“Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh PKP dan darurat ini,” jelasnya.

Beliau berkata, dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

“Saya memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Ne­geri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.

“Sepanjang tempoh darurat ini, jika Al-Sultan Abdullah ber­puas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu maka, Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Yang di-Pertuan A­gong juga boleh memasyhurkan beberapa Ordinan Darurat bagi tujuan membendung wabak Co­vid-19 sepanjang tempoh darurat.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) juga tidak akan diadakan dalam tempoh darurat.

“Kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan raya diadakan untuk mengelakkan wabak Covid-19 merebak seperti yang berlaku selepas PRN Sabah baru-baru ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI