fbpx

Suami Pavithra dihukum berkelakuan baik 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sugu keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun berjumlah RM8,000 atas kesalahan memiliki sabit tahun lalu.

IPOH – Suami YouTuber masakan, S. Pavithra terlepas hukuman penjara atas kesalahan memiliki senjata berbahaya selepas Mahkamah Sesyen di sini mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun berjumlah RM8,000 hari ini.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman tersebut kepada M. Sugu, 31, selepas dia menukar pengakuan bersalah pada hari ini yang sepatutnya hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebur mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah dan turut memerintahkan Sugu untuk membayar kos pendakwaan sebanyak RM3,000.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis ‘Tiger’ di kawasan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada pukul 6 petang 21 Julai 2020.

Sugu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Syahrul Nizam Mohd Rabi yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik kerana tertuduh tidak pernah terbabit dalam kes jenayah mahupun gangsterism sebelum ini serta dia berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mohamad Hafiz turut berhujah punca kejadian adalah disebabkan salah faham semata-mata selain mahkamah perlu mengambil kira dia menyara dua anak yang masih kecil.

“Pengakuan awal anak guam saya hari ini sudah menjimatkan masa dan kos, selain mengambil kira pengiktirafan yang diberikan atas kejayaannya sehingga menerima anugerah Ikon Bandaraya Ipoh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi yang mengendalikan pendakwaan turut bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan dengan turut mengambil kira ia adalah kesalahan kali pertama bagi tertuduh.

Liyana Zawani bagaimanapun menuntut kos pendakwaan dibayar oleh tertuduh memandangkan siasatan yang dijalankan polis sudah lengkap.

Kosmo! pada 18 September lalu melaporkan, Sugu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas satu lagi pertuduhan yang dihadapinya iaitu mendatangkan kecederaan kepada isterinya, S. Pavithra, 28, Julai lalu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI