fbpx

Bask Bear Coffee miliki 100 outlet yang beroperasi secara maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

Impak pandemic Covid-19 telah memberi keajaiban luar biasa buat Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holdings, Bryan Loo, pemilik jenama minuman bubble tea popular di Malaysia, Tealive, untuk meluaskan rangkaian perniagaan Bask Bear Coffee (BBC) secara maya ekoran trend tempahan makanan dan minuman secara online oleh masyarakat semakin bertambah.

Mengambil peluang daripada aset sedia ada Tealive, BBC beroperasi secara maya dan tempahan menu hanya boleh dibuat secara online di aplikasi syarikat penghantar.

Keunikan model perniagaan sehingga memberi penjimatan besar buat syarikat telah membolehkan ia memberi kembali manfaat kepada syarikat penghantar dan juga kepada pelanggan dengan tawaran diskaun sehingga 35 peratus sehari.

Memperincikan pelan pengembangan dan menggunakan gambar beruang matahari sebagai hidupan yang perlu dilindungi masyarakat kini dalam jenama BBC, anak muda berusia 35 dari Perlis ini memiliki misi yang besar untuk membangunkan empayar syarikat tersebut pada masa depan.

“Kami bercadang untuk meluaskan penguasaan pasaran BBC secara maya sehingga 300 outlet pada masa depan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Petaling Jaya
baru-baru ini.

Bagaimana tercetusnya idea untuk membuka perniagaan BBC?
Kami sudah lama merancang untuk membuka perniagaan ini kerana menyedari tentang potensi perniagaan maya pada masa depan tetapi ketika itu tiada peluang

Apabila bermulanya pandemik Covid-19 di negara pada awal tahun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, trend perniagaan ke arah online dan menggunakan perkhidmatan penghantaran menjadi norma baharu bagi masyarakat semasa.

Pelanggan kini lebih suka berada di rumah cuma pesan makanan dan minuman dari rumah sahaja.

Berapa banyak cawangan BBC pada masa sekarang?
Pada awalnya kami memiliki lapan outlet fizikal di sekitar Lembah Klang dan bercadang untuk membuka 50 lagi dalam perancangan jangka panjang, tetapi apabila PKP dilaksanakan, perancangan itu terganggu tetapi idea melebarkan sayap perniagaan secara maya berjaya direa­lisasikan.

Sepanjang tahun lalu, kami telah berjaya membuka 100 cawangan BBC secara maya dan ini menjadikan kami sebagai jenama kopi terbesar berkembang secara maya di Malaysia hanya dalam tempoh enam bulan.

Kami juga mahu mencatat nama sebagai jenama terbesar dalam penghantaran.

Bagaimana syarikat ber­­operasi secara maya?
Semasa PKP, kami mendapat idea yang menarik untuk menggerakkan perluasan pasaran BBC secara maya yang mana kami akan menggunakan asset sedia ada dan terbesar Loob Holdings iaitu cawangan Tealive untuk mengoperasikan BBC.

Sebagai contoh, pelanggan yang berkunjung ke outlet Tealive, mereka hanya boleh membeli air minuman Tealive dan pelanggan tidak akan dapat melihat sebarang tanda­ perniagaan BBC di situ.

Tetapi jika mahu membeli kopi BBC, pe­langgan perlu membuat tempahan hanya di aplikasi Grabfood atau Food Panda dan di situ terdapat menu untuk membeli kopi kegemaran masing-masing.

Selain itu, pelanggan juga boleh membuat tempahan secara online dan minuman tersebut boleh diambil di mana-mana cawangan Tealive yang berdekatan dengan pelanggan.

Apakah kelebihannya mengoperasikan perniagaan secara maya?
Model perniagaan ini sungguh menjimatkan kos perbelanjaan yang mana kami tidak perlu mengubahsuai cawangan Tealive kerana kami akan menggunakan aset sedia di situ.

Kami hanya perlu menambah beberapa me­sin pemprosesan untuk membuat kopi. Kami tidak perlu membayar sewa outlet menambah bilangan pekerja.

Semua kos akan ditanggung oleh Tealive.

Memandangkan syarikat mendapat manfaat penjimatan yang besar, maka kami beri balik kepada­ syarikat penghantar dan juga kepada pelanggan.

Bagaimana pelanggan dapat manfaat daripada penjimatan kos tersebut?
Kami menawarkan harga diskaun yang sangat berpatutan kepada pelanggan iaitu antara 15 hingga 35 peratus sehari.

Apa sahaja lebihan penjimatan yang diperoleh, kami akan sumbang balik kepada pelanggan daripada situ, harga kopi yang ditawarkan di BBC adalah sangat berpatutan iaitu serendah RM7 seunit.

Mengapa BBC menggunakan lambang beruang dalam jenama syarikat?
Binatang tersebut adalah beruang madu atau lebih dikenali sebagai beruang matahari yang mana saiznya kecil dan ia mempunyai kolar unik berwarna jingga di bawah lehernya dengan bintik hitam.

Sehingga kini, jumlah beruang matahari yang masih hidup di seluruh dunia adalah sangat kecil, sehubungan itu, kami mahu meningkat pengetahuan dan kesedaran masyarakat untuk melindungi binatang tersebut daripada pupus pada masa depan.

Sehubungan itu, kami telah bekerjasama dengan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo di Sandakan, Sabah untuk membantu kempen melindungi haiwan berkenaan.

Apa lagi keunikan BBC khususnya dalam menu minuman yang ditawarkan kepada pe­langgan?
BBC ialah jenama kopi yang terulung menggunakan gula aren. Gula aren ini dihasilkan daripada daripada nira tunas bunga pokok nipah yang ditanam di hutan bakau berhampiran tepi laut di Borneo.

Peladang perlu memasaknya selama beberapa jam menggunakan kayu api sehingga menjadi pekat dan dibotolkan dengan tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet.

Gula aren memiliki indeks glisemik (GI) yang rendah berban­ding madu.

Ia bersesuaian untuk pelanggan yang mengambil berat tentang pengambilan makanan dan minuman sihat. Kopi yang dicampur dengan gula aren akan menawarkan rasa yang cukup unik lengkap dengan rasa manis dan lemak.

Bekalan gula aren dari Sarawak ini hanya eksklusif untuk BBC.

Berapakah transaksi jualan kopi sehari di BBC?
Buat masa sekarang ia adalah kira-kira 2,000 traksaksi pembe­lian sehari yang mana mungkin seorang pembeli membeli antara dua hingga empat cawan. Melihat kepada pertumbuhan permintaan pasaran semasa, kami menjangkakan jumlah transaksi itu akan bertambah kepada 10,000 transaksi sehari pada masa depan.

Apakah perancangan BBC pada masa depan?
Kami bercadang untuk membuka 50 outlet fizikal BBC pada tahun ini dengan melibatkan kos pelaburan antara RM250,00 hingga­ RM300,000 setiap outlet bergantung kepada pelbagai faktor.

Cawangan fizikal itu akan tertumpu di stesen MRT dan LRT, stesen minyak, pusat beli-belah dan juga pusat bandar utama di Johor dan Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI