fbpx

Intan-Harris cinta tidak kenal usia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN Ladyana dan Harris Alif akan mendirikan rumah tangga pada 6 Februari depan.

SELEPAS hampir setahun menyulam cinta, akhirnya Intan Ladyana, 38, mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang bersama jejaka pilihannya, Harris Alif.

Teka-teki hubungan yang mendapat perhatian ramai ekoran jurang usia yang jauh itu juga terjawab selepas muncul khabar angin mengatakan mereka sudah bernikah pada Disember tahun lalu.

Benarlah kata orang, jika sudah jodoh tidak ke mana. Begitulah yang dapat digambarkan bagi hubungan pasangan tersebut. Jurang usia 17 tahun bukanlah penghalang untuk Intan dan Harris menuju ke mahligai perkahwinan.

Trend artis wanita berkahwin dengan lelaki yang usianya jauh lebih muda bukanlah perkara asing dalam industri hiburan hari ini.

Antara beberapa nama besar yang berkahwin dengan pucuk muda ialah Rozita Che Wan dan Zain Saidin serta Ella dan Azhar Ghazali.

Meskipun, jarak usia yang jauh namun kesemua pasangan tersebut kekal bahagia hingga ke hari ini.

Bukan penghalang

Biarpun Intan sering diasak tentang isu memilih pucuk muda berbanding lelaki yang seusia dengannya, pelakon Adnan Sempit itu kekal dengan pendiriannya bahawa kekasih hatinya itu seorang yang matang.

Malah, akui pemilik nama lengkap Intan Nurladyana Mohamat Yahaya itu, ramai juga yang mempersoalkan keputusannya memilih lelaki lebih muda untuk dijadikan suami dan tahap kematangan Harris yang baru berusia 21 tahun itu.

“Sejak awal perkenalan kami sekitar Januari tahun lalu, saya memang sangat menyenangi dengan sikap Harris. Senang berkomunikasi dan sangat memahami antara perkara yang saya suka tentangnya.

“Bagi saya faktor usia bukanlah satu perkara yang jadi isu besar bagi saya sebab tidak semestinya lelaki itu umurnya 40 tahun, dia sudah cukup matang.

“Harris sangat matang dari usianya malah dia boleh memahami setiap apa yang saya ingin sampaikan. Persefahaman lebih penting berbanding usia,” katanya dalam temu bual virtual sempena pengumuman tarikh pernikahan mereka baru-baru ini.

Ujarnya, dia juga tidak kisah dengan pandangan masyarakat yang dilemparkan terhadap mereka.

“Komen saya ringkas, jika Allah sudah tetapkan dia jodoh saya, jadi saya perlu terima dengan baik.

“Saya nampak dia sudah bersedia dan matang untuk bergelar seorang suami. Umur tidak boleh mengukur kematangan seseorang. Apa yang penting keluarga kami merestui hubungan ini,” ujar bintang filem Semp-It itu optimis.

Wedding of The Year

Selain isu jarak usia, majlis perkahwinan yang bakal berlangsung pada 6 Februari depan di sebuah masjid di ibu negara tersebut pantas menjadi buah mulut ramai selepas mengumumkan penerimaan penajaan barangan kemas bernilai RM13.5 juta oleh Ceres Jewel.

Set barangan kemas tersebut akan dipakai Intan pada majlis pernikahan dan malam resepsi pada hari yang sama.

Haris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi pula menyifatkan semua tajaan yang diterima sebagai rezeki awal sebelum mendirikan rumah tangga.

Pelantun lagu Anugerah itu bertegas, dia menghargai segala tajaan yang diterima, namun tidak pernah terlintas di benak fikiran untuk menjadikan hari bahagianya dan Intan sebagai Wedding of the Year sebagai mana yang difikirkan segelintir pihak.

“Bagi saya ini semua rezeki nak menghalalkan hubungan kami. Saya dan Intan tidak pernah terfikir untuk jadikan perkahwinan kami sebagai Wedding of the Year malah tiada niat untuk bertanding dengan mana-mana pihak pun.

“Kami cuma mahu meraikan para tetamu yang hadir. Biarlah majlis ini berlangsung secara sederhana tetapi tetap meriah. Apa yang penting, majlis kami akan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Intan dan Harris akan diraikan dalam empat acara penting iaitu malam berinai, majlis akad nikah, resepsi dan acara bertandang.

Terdahulu, Harris mendedahkan keluarganya sudah menghantar rombongan merisik pelakon filem Town Mall itu sekitar Julai lalu.

Malah, persiapan perkahwinan yang sudah hampir siap 95 peratus juga telah dilakukan sejak Julai lalu.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI