TANAH MERAH – Dua beradik dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dalam serbuan di Kemahang di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 9.57 pagi itu, PGA turut menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai rakan kepada dua beradik tersebut.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebanyak 253 biji pil kuda dan dadah jenis syabu seberat 4.48 gram turut dirampas dalam serbuan itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, dua beradik itu dan rakannya turut bertindak sebagai pengedar.
Katanya, kesemua suspek yang berusia 27 hingga 31 tahun itu dipercayai mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Mie Tok Cha.
“Suspek kemudian akan menjual bahan larangan itu kepada penagih-penagih sekitar kawasan Felda Kemahang. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,978,” katanya. -K! ONLINE














