fbpx
ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang hari ini.

Dua maut, kereta bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Dua maut manakala tiga lagi cedera apabila dua kereta bertembung di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini petang tadi.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta jenis Proton Wira, Mohammad Zani Zakaria, 32, dan penumpang belakang kereta itu, Alia Azizan Mohd. Razali, 21, yang tinggal di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi di sini.

Alia Azizan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan manakala Mohamamad Zani pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Tiga yang cedera parah ialah penumpang hadapan kereta terbabit, Atiha Adila Mohd. Razali, 26, serta pemandu kereta jenis Proton Satria, Mohamad Baharudin Mohamed, 28, dan penumpangnya, Muhammad Fahmi Ab. Malek, 32.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian dipecayai berlaku kira-kira pukul 5.15 petang ketika cuaca hujan lebat.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Satria dinaiki dua lelaki itu datang dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai dipercayai dipandu secara melulu.

“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki tiga mangsa.

“Susulan kejadian itu, kereta jenis Proton Wira dinaiki tiga mangsa terbalik ke dalam longkang dan seorang daripada tersepit di tempat duduk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Choon Foo berkata, tiga mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong kanan Penguasa Bomba, Mohd. Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang tiba bersama dua jentera di lokasi kira-kira pukul 5.41 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba melihat kemalangan melibatkan dua kereta yang bertembung pada bahagian depan.

“Akibat pelanggaran itu, seorang mangsa tersepit terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI