fbpx
Gambar hiasan

Jangan berdegil semasa musim banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PADA hujung minggu lalu, beberapa negeri dilanda banjir antaranya Johor dan Pahang. Semakin hari, bilangan mangsa yang terjejas terus meningkat.

Paling mengejutkan kejadian banjir yang melanda Pahang. Ia seakan-akan mengulangi kejadian bah teruk yang melanda negeri itu pada 2014 dan situasi pada musim ini juga tidak kurang teruknya.

Keadaan itu menyebabkan ramai orang kehilangan harta benda selain kemusnahan alam sekitar seperti tanah runtuh dan kerosakan jalan raya.

Antaranya tragedi tanah runtuh berlaku di Jalan Lama Bentong-Raub di Pahang, Gua Musang-Lojing (Kelantan) dan Kuantan-Segamat (Johor).

Biasanya, setiap kali musim banjir, kanak-kanak suka bermain air kerana mereka tidak mengenal bahaya air besar.

Apa yang mereka tahu, cuma keseronokan bermain air seolah-olah berada di taman tema air.

Bagaimanapun, bah kali ini memaparkan sisi yang lebih luas mengenai gelagat masyarakat. Di media sosial, banyak video me­ngenai situasi banjir baru-baru ini dikongsikan oleh netizen.

Antara yang menarik perhatian ialah rakaman memaparkan dua lelaki bermotosikal meredah arus deras di Pahang.

Biarpun sudah dinasihati orang ramai yang berada di lokasi itu, mereka tetap ber­degil meredah banjr yang akhirnya menyebabkan motosikal mereka dihanyutkan arus.

Pengajarannya mudah. Meskipun air di depan kelihatan tenang jangan disangka ia tidak berbahaya. Pendek kata, jangan sesekali mempertaruhkan nyawa kerana kita tidak tahu apa yang bakal menanti di depan.

Mengulas mengenai isu kedegilan setiap kali musim bah, Pe­ngarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysi, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ada beberapa keadaan yang membuatkan masyarakat bersikap terlebih berani berdepan air bah.

“Pertama, sebab mereka berasa yakin dapat melawan arus air. Walaupun kadang-kadang kawasan berkenaan kelihatan biasa tetapi kita perlu peka dengan keadaan arus air.

“Jika lihat arus deras, maksudnya air sedang naik cepat. Si­tuasi ini paling berisiko, jadi jangan bertindak berani,” katanya.

Mengambil contoh kejadian malang yang menimpa empat sekeluarga di Jerantut, Pahang, Nor Hisham berkata, masyarakat perlu berwaspada dengan bahaya air bah.

“Kalau tengok keadaan di kawasan kejadian (Jerantut), air tidak deras, nampak tenang, namun mangsa tergelincir di tebing jalan.

“Situasi sama mengenai ke­terujaan anak-anak kecil melihat air banjir dalam longkang.

“Nampak arus seperti biasa tetapi kita tidak tahu air bah membawa macam-macam benda sebenarnya dan keadaan itu menambahkan bahaya kepada mereka,” katanya lagi.

Enggan kejadian sama berulang saban tahun, Nor Hisham me­nyarankan masyarakat agar sentia­sa bersiap sedia mengha­da­pi bencana alam tersebut de­ngan menyediakan alat kelengka­pan penting seperti jaket ke­­se­la­matan.

“Kita tidak mahu kejadian lemas berlaku lagi. Sebab itu, saya sarankan, setiap keluarga sediakan jaket keselamatan sekiranya kawasan anda kerap dilanda banjir.

“Pada masa sama, saya ingin menasihatkan masyarakat agar sentiasa beri kerjasama kepada pasukan penyelamat yang datang memberi bantuan demi memudahkan tugas semua orang,” ujar beliau.

BERITA BERKAITAN