fbpx

Perak serius giatkan perluaskan e-Sukan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJOHANAN e-Sukan Utara berjaya menarik penyertaan hampir 300 peserta yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM35,000.

PERSATUAN e-Sukan Perak serius­ membangunkan arena sukan elektronik di negeri ber­kenaan selepas menerima peruntukan sebanyak RM700,000 daripada kerajaan negeri yang bertujuan menggalakkan pembangunan industri itu dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, peruntukan itu mampu meningkatkan usaha untuk mencungkil ramai bakat baharu yang berpotensi dikete­ngahkan bagi mewakili Perak dan Malaysia pada masa depan.

“Sukan ini diiktiraf di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan juga Sukan SEA. Jadi, melalui peruntukan yang ada, kita boleh anjurkan pelbagai kejohanan dalam usaha mencari atlet berbakat untuk diketengahkan bagi mewakili negeri dan negara.

“Pembangunan ini juga membolehkan kami mendidik anak-anak muda supaya melihat e-Sukan dalam konteks lebih luas. Ia bukan sekadar hobi atau hiburan semata-mata tetapi boleh dijadikan sebagai kerjaya tetap yang mampu menjamin masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Persatuan e-Sukan Perak di Hotel M Roof, Ipoh baru-baru ini.

KHAIRUL (tengah) menyampaikan hadiah kepada juara kategori permainan Mobile Legends pada Kejohanan e-Sukan Utara anjuran Persatuan e-Sukan Perak Ahad lalu.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, peruntukan itu juga akan membolehkan pihaknya melakukan siri jelajah di seluruh negeri bagi memperkenalkan e-Sukan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Kesempatan itu boleh digunakan sepenuhnya dengan memberi penjelasan lebih tepat sekali gus menjawab segala persoalan mereka yang masih meragui kemampuan dan jaminan dalam bidang e-Sukan.

Dalam perkembangan lain, Kejohanan e-Sukan Utara anjuran Persatuan e-Sukan Perak me­labuhkan tirainya pada Ahad lalu dengan penuh jayanya apabila menyaksikan Persatuan e-Sukan Pulau Pinang ditabalkan sebagai juara keseluruhan pertandingan itu.

Pulau Pinang berjaya membawa pulang piala pusingan serta hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM14,500 selepas memenangi kategori permainan video Mobile Legends dan Dota 2 selain meraih gelaran naib juara untuk Dota 2, FIFA 21 dan Mobile Legends.

Walaupun berjaya menyapu bersih tempat pertama, kedua dan ketiga untuk permainan Pro Evolution Soccer (PES) 2021 selain menjuarai kategori FIFA 21, namun ia masih gagal membantu Kedah apabila sekadar menamatkan kejohanan di tempat kedua keseluruhan.

Perak selaku tuan rumah pula terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga selepas berjaya menjuarai kategori PlayerUn­known’s Battlegrounds (PUBG) Mobile selain meraih tempat ketiga untuk permainan Dota 2 dan FIFA 21.

Sebagai rekod, Kejohanan e-Sukan Utara yang turut di­sertai pasukan Perlis telah menawarkan hadiah keseluruhan seba­nyak RM35,000 dengan melibatkan penyertaan daripada 239 pemain untuk lima judul permainan dipertandingkan.

Lebih menarik, Perak turut membuktikan kesungguhan mereka dalam arena e-Sukan Malaysia apabila mengadakan pertandingan di peringkat negeri yang berjaya menarik minat lebih daripada 2,000 pemain dengan keseluruhan 466 pasukan.

Mungkin tidak keterlaluan mengatakan ia adalah salah satu inisiatif awal yang diambil Perak dalam melakukan persediaan untuk memburu sekurang-kurang­nya satu pingat emas ditawarkan pada Sukma Johor 2022 dari 11 hingga 19 Julai tahun depan.

Sebagai rekod, lima kategori yang dijangka dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu ialah Dota 2, FIFA 21, PES 2021, PUBG dan Mobile Legends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI