fbpx

Nilai eksport produk, minyak sawit diunjur lebih RM70 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nilai ­eksport produk sawit dan minyak sawit negara diunjurkan berkembang lebih daripada RM70 bilion tahun 2020 berbanding RM67.5 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sebagai sektor penting kepada ekonomi negara, pencapaian tersebut adalah mengga­lakkan disebalik cabaran yang dilalui sepanjang tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Menurut beliau, prestasi ini bukan sahaja memberi keuntungan daripada perolehan yang lebih baik bagi nilai import tetapi juga memberi manfaat besar kepada pekebun kecil.

“Tindakan segera kerajaan dalam melaksanakan dasar telah membantu menangani pelbagai isu yang mungkin memberi kesan kepada perkembangan industri sawit.

“Sebagai contoh, kerajaan te­lah memberi insentif seperti penangguhan duti eksport mi­nyak sawit mentah sejak Jun 2020 bagi mengelakkan gangguan permintaan.

“Hasilnya, jumlah eksport minyak sawit telah meningkat secara signifikan sejak bulan Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar & Pame­ran Perdagangan Minyak Sawit (POTS) 2021 secara maya di sini semalam.

Mohd. Khairuddin menerangkan, Malaysia mampu pulih daripada cabaran semasa, malah akan menjadi lebih kukuh daripada sebelum ini.

Selain itu, beliau menjelaskan, permintaan minyak dan lemak global dijangka kembali pulih tahun ini memandangkan banyak ekonomi telah dibuka semula.

Tambahnya, sebagai komoditi yang paling banyak dihasilkan pada harga paling kompetitif, minyak sawit bersedia menghadapi cabaran dengan tidak hanya memberikan pilihan berpatutan tetapi pilihan sihat untuk memenuhi permintaan.

“Walaupun ekonomi global 2021 dijangka pulih pada kadar yang perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun ia tidak akan menyekat penggunaan mi­nyak dan lemak global,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI