fbpx

Teruskan amal SOP, jaga norma baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BERITA yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Kira-kira sejuta rakyat Malaysia dilaporkan akan mula disuntik vaksin Covid-19.

Suntikan vaksin yang diperoleh daripada syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech itu dijadualkan bermula pada bulan depan.

Selepas itu, seramai 6.2 juta lagi rakyat Malaysia akan disuntik vaksin Covid-19 pada April dan Mei tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di Kota Tinggi, Johor pada 2 Januari lalu.

Kerajaan mahu memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia atau bersamaan 26 juta individu menerima suntikan vaksin tersebut.

Suntikan yang diberi secara percuma itu akan dilaksanakan melalui tiga fasa imunisasi dibawah kendalian Kementerian Kesihatan.

“Suntikan vaksin fasa pertama adalah untuk petugas barisan hadapan diikuti golongan rentan,” kata Adham.

Berita ini sememangnya sangat dinantikan selepas 11 bulan kita bertarung melawan pandemik virus Covid-19.

Nyawa terancam, kebebasan diragut, pekerjaan tersekat, pendidikan terjejas, norma baharu jadi amalan.

Negara pula kerugian RM2.4 bilion sehari apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan.

Malangnya, kes positif terus mencatatkan kenaikan sehingga mencecah ribuan kes sehari.

Kehadiran vaksin Covid-19 membawa harapan besar untuk rakyat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

Namun, dalam penuh pengharapan wujud pertanyaan benarkah kita dapat kembali sepenuhnya kepada gaya hidup lama selepas proses vaksinasi itu selesai.

Pakar Virologi dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, walaupun telah menerima suntikan vaksin, orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ini berikutan risiko untuk mendapatkan jangkitan dalam kalangan rakyat tetap ada.

“Bagi saya, gaya hidup lama patut kita lupakan sahaja kerana kita telah masuk kebiasaan baharu apabila berlakunya Covid-19.

“Oleh itu, cara hidup kita telah berubah dan walaupun vaksin itu ada di tangan kita sekalipun, gaya hidup kita tidak boleh kembali seperti dahulu,” katanya.

Beliau dipetik berkata, vaksin itu berkesan menghalang seseorang mengalami kesan yang lebih teruk daripada jangkitan itu.

Ia bagaimanapun tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa kepada virus itu sendiri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengesyorkan rakyat terus membudayakan norma baharu walaupun selepas menerima suntikan vaksin.

Menurut beliau, kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus Covid-19 telah pun berada dalam komuniti.

Norma baharu itu termasuk kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Berdasarkan pandangan dan nasihat tersebut, penulis merumuskan alang-alang berdakwat biarlah hitam.

Alang-alang telah divaksin teruskan norma baharu kerana mencegah daripada dijangkiti penyakit adalah terbukti lebih baik daripada mengubati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI