fbpx

Pemangku Raja Pahang cemar duli di daerah Raub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah Raub.

RAUB – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah ini bagi menziarahi penduduk yang terjejas akibat banjir.

Keprihatinan baginda cukup terserlah apabila baginda sanggup meluangkan masa selama lima jam bermula pada pukul 11.30 pagi bagi melihat dan mendengar sendiri rintihan penduduk akibat bencana alam itu.

Selain bertanya khabar, baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Tengku Hassanal turut meninjau sendiri kawasan-kawasan yang dinaiki air dengan diberikan taklimat ringkas daripada pihak berkuasa.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Abd Aziz  Mat Kiram dan Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin.

Antara PPS yang dilawati Kebawah Duli Tuanku ialah Surau AL- Hidayah Kampung Melayu Sempalit, Dewan Kegiatan Gali Tengah, Dewan Serbaguna Gali Hilir, Balai Raya Kampung Sungai Pasu, Balai Raya Kampung Durian Sebatang, Dewan Dato’ Seriwa Dong, Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Masjid Kuala Temau, Dewan Kampung Pia dan Balai Raya Kampung Jeruas.

Untuk rekod, sehingga jam 7.30 malam ini seramai 14,814 mangsa banjir daripada 3,809 keluarga di negeri Pahang ditempatkan di 208 PPS.

Jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan trend kenaikan air di Sungai Pahang membabitkan sembilan daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Rompin, Pekan, Raub, Jerantut dan Lipis.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI