fbpx

Jualan Proton meningkat sebanyak 8.8 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Proton menjadi satu-satunya syarikat automotif utama di negara ini yang mencatat pertumbuhan jualan pada 2020 apabila merekodkan sebanyak 109,716 jualan kenderaan tahun lalu, 8.8 peratus lebih tinggi berbanding 100,821 unit pada tahun sebelumnya.

Penguasaan pasaran Proton turut meningkat kepada 21.1 peratus, pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dan model utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ialah Proton Persona, Iriz, Exora serta Saga, kesemuanya menerima naik taraf pada 2019.

Prestasi tersebut turut disokong pertumbuhan jumlah eksport sebanyak 49.8 peratus.

Proton Saga kekal sebagai model Proton paling laris pada 2020, manakala jualan kukuh daripada model terbaharu, X50 dan X70 menjadikan ia sebagai jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) nombor satu di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong berkata, pihaknya berbesar hati dengan pencapaian tahun lalu.

“Kejayaan ini disokong pelbagai faktor, antaranya ialah melalui kepercayaan pengguna, sokongan kerajaan, komitmen vendor, daya tahan para pengedar dan ketekunan kakitangan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Chunrong menerangkan, meskipun berdepan sekatan pergerakan global akibat pandemik pada tahun lalu, namun syarikat menyaksikan pencapaian kukuh daripada bahagian eksport syarikat, dengan pencapaian terbaik direkodkan pada Disember lalu.

Ia menyaksikan pengeluaran Proton Saga pertama daripada barisan pengeluaran tempatan di Kenya, sebelum membuat penampilan sulung di samping Proton X70 di Pakistan.

Jelasnya, kedua-dua model tersebut akan dijual sebagai model import (CBU) sebelum kilang pengeluaran di Karachi siap akhir tahun ini.

Proton Saga turut memasuki pasaran Mesir dan Bangladesh, manakala Proton X50 memasuki pasaran eksport pertamanya dengan membuat penampilan pertama di Brunei pada 19 Di­sember lalu.

X50 menjadi model keempat yang dilancarkan di negara berkenaan pada 2020 selepas Proton Persona, Iriz dan Saga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI