fbpx

Misi tingkatkan integriti PDRM – Abdul Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan meneruskan usaha meningkatkan integriti dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pasukan beruniform itu disegani masyarakat.

Selain meningkatkan integriti, Abdul Hamid berkata, beliau juga mahu memperkasakan kecekapan pihak polis dalam menyelesaikan sesuatu kes.

“Saya akan tetap fokus dengan misi meningkatkan integriti dalam kalangan polis supaya pasukan ini dihormati bukan dikeji.

“Selaku ketua pasukan, saya mahu pegawai dan anggota memberikan perkhidmatan kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan darjat ini kerana semua lapisan masyarakat layak diberi pelindungan yang adil,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Kosmo! di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid menegaskan beliau berpuas hati dengan pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam menyelesaikan serta menumpaskan sindiket jenayah sepanjang tahun 2020.

Jelas beliau, JSJ berjaya menyelesaikan kes menarik perhatian seperti kes bunuh, pecah rumah, samun dan lain-lain dalam masa yang singkat.

“Misalnya sebelum ini ada kes bunuh di ibu negara, suspek berjaya ditahan dalam tempoh yang singkat selain menumpaskan empat penjenayah yang terlibat dalam lebih 50 kes samun bertopeng di Selangor.

“Selain itu, bagi pihak JSJN, saya dapati bahawa kejayaan jabatan ini meningkat lebih 100 peratus dengan menumpaskan sindiket dan bongkar makmal dadah sekali gus membuktikan peningkatan tahap kecekapan dan integriti di dalam jabatan ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap jabatan ini terus kekal cemerlang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI