fbpx

13 mat rempit Melaka ditahan di LPT 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada tujuh motosikal mat rempit yang disita setelah merempit di KM417, LPT 2 berhampiran Ajil di Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Perbuatan liar 13 sahabat merempit sambil melakukan aksi berbahaya seperti ‘Superman’ di KM411 hingga KM417 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini semalam berakhir dengan kesemua mereka ditahan polis.

Kesemua penunggang motosikal berusia 17 tahun hingga 20-an terbabit ditahan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan untuk Ops Samseng Jalanan pada pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata,
selain salah seorang daripada mat rempit didapati positif dadah jenis methamphetamine, kesemua mereka juga telah dikenakan 60 notis kompaun atas pelbagai kesalahan trafik.

Beliau berkata, kumpulan mat rempit berkenaan diekori sejauh kira-kira enam kilometer sebelum ditahan ketika berhenti di Hentian Ajil di sini.

“Sewaktu diekori mereka didapati bukan sahaja menunggang motosikal melebihi had laju dibenarkan malah melakukan pelbagai aksi berbahaya.

“Salah seorang suspek berusia 17 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 juga dikesan melakukan aksi menundukkan kepala serta badan dan melunjurkan kedua-dua kaki ke belakang seperti ‘Superman’,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, seorang mat rempit berusia 21 tahun yang berasal dari Batu Kandang, Melaka pula positif dadah jenis methamphetamine.

Tambah beliau, hasil soal-siasat awal mendapati kesemua mat rempit berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Melaka setelah bercuti selama tiga hari di sebuah inap desa Teluk Ketapang, Kuala Nerus. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI