fbpx

10 jalan di tiga daerah terputus hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALAN Kluang-Kahang di Batu 18, Kluang terputus hubungan air banjir melimpah dalam kejadian pagi hari ini.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini yang kian memburuk menyaksikan 10 jalan di tiga buah daerah terputus hubungan pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, ia melibatkan lima laluan di Kluang, empat di Kota Tinggi dan satu di bandar raya ini.

Beliau berkata, Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru ditutup sepenuhnya disebabkan berlaku jambatan runtuh manakala kejadian tebing runtuh di Kampung Contoh, Kluang menyebabkan jalan ditutup sebelah.

“Di Kota Tinggi, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Mawai Lama, Jambatan di Jalan Semanggar serta Jambatan di Jalan Sungai Sayong tidak boleh dilalui Dan ditutup untuk semua kenderaan.

“Bagi di Kluang, jalan berhampiran Ladang Pak Loh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang ditutup kepada kenderaan ringan manakala jalan berhampiran Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Ladang Pelangi ditutup bagi semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan mangsa banjir, Vidyananthan berkata, angka mangsa banjir di negeri ini terus menunjukkan trend peningkatan dengan pertambahan 430 mangsa banjir membabitkan 88 keluarga dalam tempoh empat jam sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Katanya, jumlah mangsa banjir setakat ini seramai 6,248 orang membabitkan 1,628 keluarga meningkat daripada 5,818 mangsa melibatkan 1,540 keluarga yang dilaporkan pada pukul 8 pagi tadi.

“Jumlah daerah yang terjejas bencana banjir kekal tujuh daerah melibatkan kawasan di Batu Pahat, Kluang, Pontian, Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing.

“Daerah paling terkesan termasuklah Johor Bahru yang menyaksikan seramai 2,452 mangsa banjir, diikuti Kluang (1,867), Kota Tinggi (1,125) dan Kulai (581),” katanya.

“Walaupun jumlah terus menunjukkan peningkatan, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan jumlahnya kekal 56 yang masih dibuka,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI